BINTULU, 20 Jun - Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yayasan Sarawak dan Tabung Baitulmal Sarawak atas sokongan serta penajaan dalam memperkukuhkan agenda pendidikan melalui Program Walk-In@UPMS 2026.
Melalui program ini, satu Majlis Simbolik Penyerahan Tajaan dan Sumbangan telah diadakan melibatkan penajaan Yayasan Sarawak berjumlah RM200,000.00 bagi Kursus Persediaan Diploma Sains dan sumbangan Geran Tahunan berjumlah RM48,000.00 daripada Tabung Baitulmal Sarawak untuk Bantuan Kecemasan Pelajar Asnaf UPMS.
Majlis tersebut telah diserikan dengan kehadiran Yang Berbahagia Datu Mohamad Junaidi bin Mohidin, Pengarah Yayasan Sarawak, Yang Berbahagia Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, Pengarah Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) serta Yang Berusaha Tuan Haji Iskandar Allan, Pemangku Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak. Turut hadir ialah barisan ahli pengurusan Universiti Putra Malaysia Sarawak dan para jemputan yang bersama-sama memeriahkan majlis berkenaan.
Pada hari yang sama, UPMS turut menganjurkan The Campus AI Roadshow 2.0: Elevate Your Learning Journey with NotebookLM Enterprise hasil kerjasama Awantec dan IDEC, UPMS, yang memberi pendedahan kepada warga kampus mengenai pemanfaatan teknologi kecerdasan buatan dalam pembelajaran dan penyelidikan.
Sokongan ini mencerminkan komitmen strategik dalam memperluaskan akses pendidikan serta memperkukuh kebajikan pelajar khususnya dalam membuka lebih banyak peluang pengajian kepada anak-anak Sarawak di peringkat pengajian tinggi.
Date of Input: 22/06/2026 | Updated: 22/06/2026 | lanz
MEDIA SHARING