BINTULU: Seramai 40 peserta mengikuti pembelajaran bersemuka dan 100 peserta dalam talian berumur 16 hingga 26 tahun menyertai Program #YLE:Ink-Fluence: Penguasaan Kandungan Digital di Hab Inovasi Digital TEGAS Bintulu baru-baru ini.
Jurucakap penganjur berkata, program sehari itu menghimpunkan golongan belia dalam satu platform pembelajaran dinamik yang menekankan penguasaan penulisan digital dan pengaruh kandungan dalam era teknologi masa kini.
Katanya, program secara hibrid itu mendedahkan peserta dengan pelbagai cabaran interaktif dan simulasi penulisan yang menggabungkan elemen kecerdasan buatan (AI) dan penceritaan strategik bagi menghasilkan kandungan digital berkesan serta memberi impak positif kepada komuniti.
"Bengkel ini dikendalikan oleh dua penceramah berpengalaman iaitu Ahmad Azamuddin Jamil dan Roslan Ismail yang berkongsi kepakaran serta pengalaman sebenar dalam bidang penulisan profesional, komunikasi digital dan pengurusan kandungan berimpak tinggi," ujarnya di sini, hari ini.
Beliau berkata, antara fokus utama program itu adalah untuk memperkasa belia dengan keyakinan serta kemahiran penulisan digital khususnya dalam penghasilan cadangan, pembentangan, laporan, artikel dan kandungan media sosial.
Katanya, peserta turut dibimbing dalam membina naratif yang menarik, merangka strategi kandungan berkesan serta memanfaatkan alat digital dan AI untuk penjanaan idea, penyuntingan dan penghasilan kandungan lebih efisien dan beretika.
Menurutnya, program itu juga menekankan aspek komunikasi beretika, keyakinan diri dan keupayaan menghasilkan kandungan yang berfokuskan audiens selari dengan keperluan dunia digital yang semakin kompetitif.
Program tersebut anjuran Belia, Kepimpinan dan Keusahawanan (YLE) Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dengan kerjasama Hab Inovasi Digital TEGAS Bintulu dan sokongan strategik daripada Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB), Centre for the Advancement of Language Competence (CALC@UPMS) serta Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC@UPMS).
Katanya, enganjuran program tersebut membuktikan komitmen berterusan semua pihak dalam melahirkan generasi belia celik digital, berdaya saing dan bersedia menjadi ejen perubahan yang berpengaruh dalam landskap digital masa depan.

Date of Input: 05/02/2026 | Updated: 05/02/2026 | lanz

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia