MENDENGAR TANPA MENGHAKIMI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» ARTICLE » MENDENGAR TANPA MENGHAKIMI

MENDENGAR TANPA MENGHAKIMI

MENDENGAR TANPA MENGHAKIMI

“Kau ni ikut sangat perasaan.”

“Benda ni kecil je, takkan itu pun tak boleh hadap?”

“Kau tak ingat Tuhan ke?”

Pernahkah anda berada dalam situasi seperti ini?

Saat anda cuba membuka hati, cuba meluahkan apa yang terbuku, tiba-tiba kata-kata anda dipatahkan. Belum sempat bercerita, anda sudah dinilai. Belum sempat difahami, anda sudah dihukum.

Jika ya, ketahuilah anda bukan keseorangan. Ramai antara kita pernah melalui pengalaman yang sama iaitu ingin didengari, namun akhirnya hampa kerana tidak difahami, malah mungkin direndah-rendahkan oleh orang lain akibat luahan yang dikongsikan.

Kadang-kadang, apa yang seseorang perlukan bukanlah nasihat, bukan juga penyelesaian, tetapi telinga yang sudi mendengar dan hati yang tidak menghakimi.

Dalam kehidupan seharian, kita berinteraksi hampir setiap masa, dalam keluarga, persahabatan, hubungan pasangan. Namun tanpa kita sedari, satu kemahiran paling asas semakin hilang iaitu kemahiran mendengar dengan hati.

Kita terlalu cepat memberi respon.

Terlalu pantas menilai.

Dan terlalu yakin bahawa kita sudah memahami keseluruhan cerita.

Sedangkan hakikatnya, bukan semua yang diam itu tiada beban, bukan semua yang tersenyum itu benar-benar baik-baik sahaja.

Statistik menunjukkan bahawa masalah kesihatan mental di Malaysia semakin meningkat, dengan hampir 1 daripada 4 individu mengalami tekanan emosi. Ini menunjukkan betapa pentingnya sokongan emosi dan ruang untuk didengari dalam kehidupan seharian. Dalam keadaan ini, cara kita mendengar boleh menjadi perbezaan antara seseorang merasa disokong atau terus memilih untuk diam.

Hubungan Ibu Bapa dan Anak

Dalam hubungan ibu bapa dan anak, perkara ini sering berlaku tanpa disedari.

Ibu bapa datang dengan niat yang baik, ingin membimbing, ingin menasihati. Namun cara yang digunakan kadangkala membuatkan anak berasa seperti diserang. Seolah-olah setiap luahan adalah suatu kesalahan.

Anak yang datang untuk berkongsi, akhirnya pulang dengan perasaan kecewa serta tidak difahami.

Lebih menyakitkan, ada yang dipersalahkan sebelum sempat menghabiskan cerita.

Apabila situasi ini berulang, anak-anak mula belajar satu perkara iaitu diam itu lebih selamat daripada bercerita.

Dan apabila rumah bukan lagi tempat yang selamat untuk meluah, mereka akan mencari ruang di luar.

Rakan sebaya, media sosial, atau sesiapa sahaja yang sudi mendengar.

Jika bertemu rakan yang ikhlas, itu satu kebaikan.

Namun jika tersalah tempat, mereka berisiko terjerat dengan pengaruh yang salah, hanya kerana mencari satu perkara yang sederhana iaitu “didengari”.

Sebagai Anak

Dalam masa yang sama, sebagai anak, kita juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

Ada kalanya kita terlalu cepat melenting apabila merasakan ibu bapa tidak memahami kita. Kita membalas dengan emosi, meninggikan suara, tanpa memberi ruang untuk penjelasan.

Akhirnya, kedua-dua pihak akan terluka, dan masing-masing merasa tidak difahami.

Sebagai Kawan

Dalam persahabatan, situasi seperti ini juga kerap kali berlaku.

Ada yang mentertawakan masalah rakan.

Ada yang memandang ringan luahan orang lain.

Ada juga yang terlalu cepat memberi nasihat, sedangkan rakan hanya mahu didengari.

Tanpa kita sedar, sikap ini perlahan-lahan menutup pintu hati seseorang.

Mereka mungkin masih tersenyum di hadapan kita tetapi tidak lagi memilih kita sebagai tempat untuk bercerita.

Sebagai Pasangan dan Keluarga

Dalam hubungan pasangan, perbualan sering bertukar menjadi perdebatan.

Kita lebih sibuk mempertahankan diri daripada memahami perasaan. Lebih fokus untuk menang berhujah daripada menjaga hati pasangan. Perkara seperti ini juga juga dibiarkan akan mengakibatkan pasangan menjadi semakin menjauh secara emosi yang akhirnya menyebabkan hubungan menjadi hambar.

Dalam kalangan adik-beradik pula, kita merasakan sudah cukup mengenali antara satu sama lain sehingga terlupa untuk benar-benar mendengar.

Kesan Apabila Tidak Didengari

Apabila seseorang terlalu kerap dihakimi, kesannya bukan kecil.

Mereka mula memilih untuk diam walaupun hati penuh cerita.

Mereka berhenti berkongsi walaupun ingin meluah.

Mereka hilang kepercayaan untuk membuka diri.

Mereka mula meragui diri sendiri.

Dan akhirnya emosi menjadi penat, jiwa menjadi tertekan.

Dalam keadaan tertentu, luka yang tidak didengari ini boleh menjadi lebih dalam daripada apa yang kita sangka.

Apa Yang Sebenarnya Diperlukan?

Langkah pertama tidak rumit tetapi memerlukan kesedaran.

Dengar sehingga habis.

Dengar tanpa mencelah.

Dengar tanpa membetulkan.

Dengar tanpa terus menilai.

Kadang-kadang, seseorang tidak mencari jawapan.

Mereka hanya mencari ruang yang selamat untuk bernafas melalui kata-kata.

Apabila seseorang merasa didengari sepenuhnya, mereka akan menjadi lebih tenang, lebih jujur dan lebih bersedia untuk mencari jalan keluar.

Peranan Kita

Perubahan tidak perlu bermula dengan perkara besar.

Cukup dengan ayat-ayat kecil yang memberi makna besar:

Sebagai ibu bapa:

“Mama/Papa dengar. Cerita lagi”.

Sebagai kawan:

“Aku dengar, teruskan”.

Sebagai pasangan:

“Saya faham apa yang awak rasa”.

Ringkas, tetapi mampu membuka ruang yang selama ini tertutup.

Mendengar tanpa menghakimi bukan tanda kelemahan. Ia adalah tanda kematangan emosi. Keupayaan untuk memahami bahawa setiap orang sedang berjuang dengan cara yang kita mungkin tidak nampak.

Sebelum kita memberi respon, belajarlah untuk mendengar.

Sebelum kita menghukum, cubalah untuk memahami.

Kerana kadang-kadang,

satu telinga yang sudi mendengar bukan sekadar menenangkan hati,

tetapi mampu menyelamatkan seseorang.

(Artikel ini disediakan oleh Hairunisah Abdul Rahman, Pegawai Psikologi, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) bersama Roslinawati Luung Nasau dan Helena Inch Hamdan, Kaunselor Pelatih di UPMS. Mereka boleh dihubungi melalui  emel hairunisah@upm.edu.my).

Date of Input: 04/05/2026 | Updated: 04/05/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
-
W, (12:16:36am-12:21:36am, 15 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]