Antara 40% hingga 80% daripada perbelanjaan pihak berkuasa tempatan digunakan untuk menguruskan sampah. Itu belum termasuk kos kesihatan, pencemaran, serta kehilangan nilai bahan yang sepatutnya tidak dibuang begitu sahaja.
Setiap pagi di seluruh Malaysia, lori sampah menjalankan tugas seperti biasa dan kehidupan terus berjalan tanpa banyak dipikirkan. Namun, apa yang ramai tidak sedar ialah rakyat sebenarnya membayar harga “kehilangan” sampah itu sebanyak dua kali. Pertama melalui cukai dan perbelanjaan pihak berkuasa tempatan, dan sekali lagi melalui pencemaran, risiko kesihatan, serta pembaziran bahan yang masih mempunyai nilai apabila sisa diuruskan dengan kurang lestari.
Pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam boleh menggunakan antara 40% hingga 80% daripada perbelanjaan pihak berkuasa tempatan di Malaysia. Ini bukan angka kecil. Di kebanyakan kawasan, ia merupakan antara komponen perbelanjaan terbesar dalam belanjawan kerajaan tempatan. Ini adalah dana yang sepatutnya boleh digunakan untuk jalan raya, sekolah, klinik, atau kemudahan awam lain. Dan angka ini hanya menggambarkan kos langsung. Ia belum mengambil kira kesan lebih luas yang timbul apabila sisa diuruskan secara tidak berkesan.
Dr. Keeren Sundara Rajoo, seorang penyelidik di Universiti Putra Malaysia Sarawak, berkata kebanyakan rakyat Malaysia tidak didedahkan untuk melihat isu ini dari sudut tersebut. “Ramai mungkin tidak nampak caj khusus untuk sisa, tetapi hakikatnya mereka tetap membayarnya melalui perbelanjaan pihak berkuasa tempatan. Apabila sisa tidak diasingkan dengan baik, tercemar, atau diurus secara tidak cekap, kos itu tidak hilang begitu sahaja. Kita membayarnya secara langsung melalui cukai, dan secara tidak langsung melalui pencemaran, degradasi alam sekitar, serta kehilangan nilai bahan kitar semula,” katanya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia, WHO, telah memberi amaran bahawa pelupusan sisa yang tidak sempurna boleh menjejaskan kesihatan manusia melalui pencemaran udara, air, dan tanah. Amalan tidak selamat seperti pembakaran terbuka boleh memberi kesan terus kepada pekerja pengurusan sisa dan komuniti berhampiran. Sistem kutipan yang lemah pula memburukkan pencemaran alam sekitar dan mewujudkan keadaan yang menjejaskan kesihatan awam dalam jangka panjang. Kos kewangan dan kos terhadap manusia sebenarnya bukan dua isu yang berasingan. Ia adalah masalah yang sama.
Penyelidikan Prof. Mami Irie dari Tokyo University of Agriculture tertumpu kepada pengurangan kehilangan makanan, kitar semula sisa makanan, dan penglibatan masyarakat dalam kelestarian, dab beliau berkata cara kita melihat sisa hanya sebagai isu pelupusan merupakan antara sebab utama mengapa masalah ini sukar ditangani. “Pengurusan sisa yang lemah bukan sahaja membebankan dari segi kewangan, tetapi juga merupakan isu kesihatan awam. Apabila makanan dan bahan lain yang masih boleh dipulihkan dibazirkan, bukannya diguna semula atau dikitar semula dengan betul, masyarakat kehilangan sumber, dan akhirnya orang ramai merasai kesannya terhadap persekitaran serta kualiti hidup mereka,” katanya.
Prof. Mami dan Dr. Keeren telah bekerjasama secara langsung dalam menangani isu ini di Sarawak menerusi projek Towards Zero Food Waste in Bintulu dan pembangunan aplikasi kitar semula KitarNow. Kerjasama antara Universiti Putra Malaysia Sarawak, Bintulu Development Authority, dan Tokyo University of Agriculture ini bertujuan menggerakkan pengurusan sisa melangkaui sekadar kempen kesedaran kepada sistem yang lebih praktikal dan boleh dijejaki, yang meletakkan sekolah, hotel, institusi, dan perniagaan lebih bertanggungjawab terhadap sisa yang mereka hasilkan.
Kebimbangan yang sama turut membawa mereka bertemu dengan Mr. Osamu Kono, Pengerusi Ryoshin Co. Ltd., sebuah syarikat kejuruteraan alam sekitar dari Jepun yang memberi tumpuan kepada pembinaan masyarakat yang lebih berorientasikan kitar semula, dalam satu perbincangan pada 20 April 2026. Osamu berkata antara kelemahan berterusan di Asia Tenggara ialah kos sebenar sisa masih tidak kelihatan kepada masyarakat. “Apabila kos sisa tersembunyi dalam perbelanjaan awam yang lebih umum, orang ramai tidak benar-benar merasai berapa besar kos yang ditanggung akibat pengurusan sisa yang lemah. Dan apabila kos itu kekal tidak kelihatan, dorongan untuk mengurangkan sisa, mengasingkannya dengan betul, dan menambah baik sistem juga akan terus lemah,” katanya.
Jepun memberikan contoh yang jelas tentang apa yang boleh berubah apabila kos dan data sisa dijadikan sesuatu yang dapat dilihat. Di Pusat Beli-belah Tamagawa Takashimaya di Tokyo, sisa daripada lebih 300 penyewa diurus melalui satu platform berpusat yang menimbang dan merekodkan pelupusan mengikut kategori. Para penyewa diwajibkan mengasingkan sisa mereka dengan betul. Jika sisa tidak diasingkan, penyewa akan dikenakan caj yang lebih tinggi. Sistem pengurusan digital generasi baharu pula membolehkan data sisa setiap penyewa dilihat dengan jelas, sekali gus mewujudkan akauntabiliti kewangan secara langsung terhadap apa yang dibuang dan bagaimana ia dibuang.
Hasilnya, sisa tidak lagi dianggap sekadar urusan belakang tabir, sebaliknya menjadi isu pengurusan yang boleh diukur. Apabila pihak perniagaan dapat melihat jumlah sisa yang mereka hasilkan dan perlu menanggung kos daripadanya, tingkah laku akan berubah. Itulah prinsip yang mendasari pendekatan Jepun terhadap sisa secara lebih menyeluruh: pengasingan dianggap perkara biasa, akauntabiliti dibina dalam sistem, dan orang ramai melihat pelupusan yang bertanggungjawab sebagai tanggungjawab sivik bersama, bukannya kerja orang lain semata-mata.
Prinsip ini juga amat sesuai untuk diterapkan di Malaysia. Aplikasi KitarNow dan projek Towards Zero Food Waste in Bintulu merupakan langkah awal ke arah itu, bukan sekadar lagi poster atau slogan tentang kitar semula, tetapi sistem yang menjana data, mewujudkan akauntabiliti, dan menjadikan sisa sesuatu yang dapat dilihat oleh pihak yang menghasilkannya. Langkah seterusnya ialah memastikan pendekatan ini berkembang daripada projek perintis kepada dasar yang lebih meluas, dan rakyat Malaysia memahami apa yang sebenarnya sedang dipertaruhkan.
Sisa tidak percuma. Kutipan sisa tidak percuma. Kerosakan alam sekitar dan kesihatan akibat amalan pengurusan sisa yang lemah juga tidak percuma. Orang ramai menanggung semua kos ini, sama ada mereka nampak bilnya ataupun tidak. Persoalannya sekarang ialah sama ada Malaysia bersedia membina sistem yang menjadikan kos tersebut jelas dan dapat dilihat, sebelum kita semua terpaksa membayar harga yang lebih mahal.

Mami Irie (kiri), Mr. Osamu Kono (tengah), dan Dr. Keeren Sundara Rajoo (kanan) ketika mengadakan perbincangan di ibu pejabat Ryohshin Co. Ltd. di Bandar Toyama, Jepun.

Ryohshin telah membangunkan robotik industri berasaskan AI yang mampu mengenal pasti, mengasing, memilih, dan memproses sisa secara automatik untuk tujuan kitar semula.

Stesen Kitar Semula di Pusat Beli-belah Tamagawa Takashimaya, Tokyo, Jepun.

Penyewa di Pusat Beli-belah Tamagawa Takashimaya menggunakan platform pengurusan digital yang menimbang dan merekodkan pelupusan sisa mengikut kategori.

Pusat Beli-belah Tamagawa Takashimaya turut menjalankan kutipan pakaian untuk orang awam sebagai sebahagian daripada usaha menggalakkan kesedaran kitar semula.

Towards Zero Food Waste in Bintulu menggalakkan tindakan praktikal dalam pengurangan sisa makanan, kitar semula, dan kesedaran masyarakat.

KitarNow, platform kitar semula berasaskan data di Bintulu, telah menarik penyertaan dari lebih 50 organisasi, termasuk enam syarikat kitar semula.
Date of Input: 04/05/2026 | Updated: 04/05/2026 | lanz

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia