PERTANIAN SARAWAK MELANGKAH KE ERA MODEN BERNILAI TINGGI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK 127
» ARTICLE » PERTANIAN SARAWAK MELANGKAH KE ERA MODEN BERNILAI TINGGI

PERTANIAN SARAWAK MELANGKAH KE ERA MODEN BERNILAI TINGGI

 

BINTULU, 3 Ogos: Transformasi sektor pertanian Sarawak perlu melangkaui aspek pengeluaran dengan memberi penekanan kepada pembangunan rantaian nilai lengkap daripada penyelidikan, pemprosesan sehingga pemasaran bagi memastikan hasil pertanian mempunyai nilai ekonomi lebih tinggi.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, pendekatan baharu itu penting bagi mengubah sektor pertanian daripada amalan sara diri kepada industri moden yang mampu menjana pendapatan serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kemampuan komuniti petani untuk menghasilkan produk pertanian bukan lagi menjadi satu-satunya ukuran kejayaan, sebaliknya aspek nilai tambah selepas pengeluaran perlu diberi perhatian.

“Dahulu, apabila kita meminta komuniti petani menghasilkan tanaman, mereka mampu melakukannya. Tetapi proses itu berhenti di situ. Kita perlu pergi lebih jauh kepada pemprosesan, pemasaran dan memastikan produk sampai kepada pengguna,” katanya ketika berucap dalam Congress on Sustainable Agriculture and Food Security (COSAFS) 2026 di Imperial Hotel, di sini hari ini.

Menurutnya, pembangunan sektor agromakanan memerlukan penyelarasan menyeluruh melibatkan pelbagai pihak termasuk kerajaan, institusi penyelidikan, pemain industri dan komuniti setempat.

Katanya, konsep kerjasama awam-swasta-komuniti amat penting bagi memastikan teknologi baharu dapat diterapkan dalam sektor pertanian serta membantu meningkatkan produktiviti.

“Isu lebihan pengeluaran yang menyebabkan kejatuhan harga hasil pertanian turut perlu ditangani melalui strategi pemasaran dan pembangunan industri hiliran.

“Apabila berlaku lebihan hasil, harga boleh turun dan ini boleh menyebabkan petani hilang semangat. Sebab itu kita perlu memastikan terdapat pasaran serta proses hiliran yang mampu menyokong pengeluaran,” tambahnya.

Katanya lagi Sarawak mempunyai kelebihan dari segi iklim yang membolehkan pelbagai jenis tanaman dibangunkan, sekali gus membuka peluang kepada penghasilan tanaman bernilai premium.

Kerajaan negeri kini katanya turut memberi perhatian kepada peningkatan produktiviti tanaman utama termasuk padi menerusi penggunaan ilmu, teknologi dan sokongan penyelidikan.

“Ini adalah usaha bersama. Akademia, industri, agensi kerajaan dan komuniti perlu bergerak seiring untuk membina sistem makanan yang lebih mampan dan berdaya tahan,” katanya.

COSAFS 2026 yang menghimpunkan penyelidik, pakar industri, pembuat dasar serta peserta antarabangsa menjadi medan perkongsian ilmu dan inovasi dalam memperkukuh pembangunan pertanian mampan serta sekuriti makanan pada masa hadapan. – TVS

Date of Input: 17/08/2026 | Updated: 17/08/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (08:43:42pm-08:48:42pm, 01 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]