BINTULU, 3 OGOS - Sarawak komited memperkukuh keselamatan makanan menerusi transformasi sektor pertanian berasaskan inovasi, teknologi dan penyelidikan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Premier Sarawak berkata, dunia kini berdepan pelbagai cabaran termasuk perubahan iklim, kekurangan sumber, ketidaktentuan geopolitik serta kehilangan biodiversiti yang memberi kesan kepada sistem bekalan makanan global.
Sehubungan itu, Sarawak meletakkan keselamatan makanan sebagai antara keutamaan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 atau PCDS 2030 dengan memberi penekanan kepada pertanian pintar, pendigitalan, bioteknologi, kecerdasan buatan, automasi dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.
“Hasrat kita adalah untuk mentransformasikan sektor pertanian menjadi sebuah industri moden, berteraskan teknologi dan berpendapatan tinggi melalui inovasi, transformasi digital, pertanian tepat (precision agriculture), bioteknologi, kecerdasan buatan (AI), automasi, integrasi tenaga boleh diperbaharui serta pengurusan sumber secara mampan.
Namun, transformasi ini bukan sekadar untuk meningkatkan produktiviti. Ia juga bertujuan memastikan pengeluaran pertanian dilaksanakan secara lestari, di samping melindungi hutan, memelihara biodiversiti, mengurus sumber air secara bertanggungjawab, serta memastikan pembangunan pada hari ini tidak menjejaskan keperluan generasi akan dating,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam merasmikan Kongres Ke-3 Pertanian Lestari dan Keselamatan Makanan, COSAFS 2026, di Bintulu, pada pagi tadi. Beliau berkata, Sarawak mempunyai kelebihan daripada segi sumber tanah, biodiversiti dan tenaga boleh diperbaharui untuk muncul sebagai hab pertanian dan agromakanan mampan di rantau ini.
Katanya, kejayaan inisiatif seperti AgriHub serta penubuhan School of Veterinary and Animal Science (SVAS) turut memperkukuh pembangunan modal insan dan kapasiti negeri dalam bidang veterinar, kesihatan haiwan serta industri ternakan.
Beliau turut menyifatkan COSAFS 2026 sebagai platform penting untuk memperkukuh kerjasama antara akademia, industri dan kerajaan dalam menghasilkan penyelesaian inovatif ke arah sistem makanan yang lebih mampan dan berdaya tahan, sebelum mengisytiharkan kongres itu secara rasmi dibuka.
Date of Input: 17/08/2026 | Updated: 17/08/2026 | lanz
MEDIA SHARING