SARAWAK SASAR TRANSFORMASI PERTANIAN MODEN DENGAN PELABURAN RM1 BILION | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» ARTICLE » SARAWAK SASAR TRANSFORMASI PERTANIAN MODEN DENGAN PELABURAN RM1 BILION

SARAWAK SASAR TRANSFORMASI PERTANIAN MODEN DENGAN PELABURAN RM1 BILION

 
KUCHING: Sebanyak RM1 bilion telah disuntik untuk Program Pembangunan Infrastruktur Padi Sarawak bagi meningkatkan tahap sara diri (SSL).
 
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom memberitahu, Kerajaan Sarawak komited kepada memodenkan penanaman padi dengan membangunkan infrastruktur bagi mengelak kemerosotan SSL beras.
 
Menurutnya, di bawah program ini lebih kurang 14,000 hektar telah dikenal pasti di Bahagian Kuching, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang.
 
Sementara itu, beliau mengakui kepentingan kerjasama di kalangan pemain industri padi dan beras dengan Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan pengeluaran dan produktiviti beras menggunakan amalan pertanian yang baik, teknologi pertanian pintar dan pertanian lestari.
 
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam menerajui projek AgriHub@Gedong di Lubok Punggor, Samarahan.
 
“Bagi mengukuhkan kerjasama ini, satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara UPM dan Jabatan Pertanian Sarawak telah dimeterai bagi membuka laluan untuk meneroka peluang baharu dalam penyelidikan dan pembangunan industri padi dan beras di Sarawak,” katanya lagi.

Inisiatif ini katanya melibatkan peruntukan RM50 juta untuk 2024, sebahagian daripada pelaburan RM1 bilion untuk infrastruktur dan program berkaitan.

“Fokus kami adalah kepada amalan pertanian moden untuk mengoptimumkan penggunaan tanah, disokong oleh penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Pembinaan Kompleks Taman Teknologi Agro Sarawak (SARTECH) di Semenggoh dan Tarat akan memacu inovasi pertanian, memastikan rantaian nilai lengkap dari pengeluaran ke pasaran,” katanya pada sidang media selepas sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Kerajaan Sarawak katanya kini memperluas pelbagai usaha dalam sektor pertanian dengan memberi tumpuan kepada tanaman seperti kelapa, nanas, pisang, dan durian, serta merancang penubuhan sekolah perubatan veterinar.

Langkah ini bertujuan untuk merangsang perubahan besar dalam pertanian Sarawak, yang penting untuk pembangunan luar bandar, terutama bagi komuniti B40.

Antara lain jelas Dr Rundi, kerajaan menyasarkan peningkatan pendapatan isi rumah kepada RM15,000 setahun, melebihi sasaran RM6,000 di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

“Transformasi Sarawak menjadi negeri berpendapatan tinggi di Malaysia memerlukan pertumbuhan inklusif.

“Kita mempunyai sumber kewangan, tetapi pembangunan modal insan amat penting. Golongan muda perlu dilatih dalam pertanian moden untuk memaksimumkan hasil dan memastikan masa depan yang mampan,” tambah Dr Rundi -TVS

 

Date of Input: 20/11/2024 | Updated: 20/11/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:6:23:40~noCache