
BINTULU, 3 Ogos: Sarawak menyasarkan transformasi sektor agromakanan kepada industri berteknologi tinggi dan berpendapatan tinggi menerusi penerapan inovasi digital, kecerdasan buatan (AI), automasi serta pertanian berasaskan data.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan sektor pertanian masa kini perlu bergerak seiring kemajuan teknologi bagi meningkatkan produktiviti tanpa menjejaskan kelestarian alam sekitar.
“Sekuriti makanan bukan hanya berkaitan pengeluaran makanan, malah turut melibatkan penciptaan peluang pekerjaan berkualiti, pertumbuhan ekonomi komuniti, pemeliharaan biodiversiti serta kesejahteraan generasi akan datang.
“Di bawah Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, Sarawak telah mengenal pasti sekuriti makanan sebagai salah satu keutamaan strategik dengan aspirasi mengubah pertanian menjadi industri moden yang dipacu teknologi,” katanya ketika berucap merasmikan Congress on Sustainable Agriculture and Food Security (COSAFS) 2026 di sini hari ini.
Katanya, penggunaan teknologi seperti pertanian tepat (precision agriculture), bioteknologi, AI, automasi serta integrasi tenaga boleh diperbaharui mampu membantu sektor pertanian menjadi lebih cekap dan berdaya tahan.
“Pembangunan pertanian moden juga perlu memastikan keseimbangan antara peningkatan pengeluaran dengan pemeliharaan sumber semula jadi termasuk hutan, biodiversiti dan sumber air.
“Sarawak mempunyai kelebihan strategik dengan sumber tanah yang luas, biodiversiti tinggi serta potensi tenaga boleh diperbaharui yang menjadi asas kukuh untuk membangunkan hab agromakanan mampan,” tambahnya.
Abang Johari menegaskan kepentingan penggunaan data sebagai elemen penting dalam membuat keputusan serta meningkatkan kecekapan pengeluaran makanan.
“Data adalah input yang sangat penting untuk kita bergerak ke hadapan melalui inovasi dan memastikan pengeluaran makanan yang lebih cekap untuk masyarakat serta dunia,” katanya.
Beliau turut menggesa semua pihak meneroka penyelesaian baharu yang menggabungkan teknologi digital, ekonomi kitaran, pengurusan tanah mampan dan pembangunan inklusif bagi menghadapi cabaran perubahan iklim global.
COSAFS 2026 menghimpunkan penyelidik, pakar industri, pembuat dasar dan delegasi antarabangsa bagi berkongsi idea serta teknologi dalam memperkukuh sistem makanan yang lebih mampan dan berdaya tahan. – TVS
Date of Input: 17/08/2026 | Updated: 17/08/2026 | lanz

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia