UPMS MEMACU JARINGAN ANTARABANGSA UPM MELALUI PENGLIBATAN AKADEMIK DI CHINA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» ARTICLE » UPMS MEMACU JARINGAN ANTARABANGSA UPM MELALUI PENGLIBATAN AKADEMIK DI CHINA

UPMS MEMACU JARINGAN ANTARABANGSA UPM MELALUI PENGLIBATAN AKADEMIK DI CHINA

Xiamen & Quanzhou, China, Disember 2025 - Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) memainkan peranan sebagai penghubung strategik Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam siri penglibatan akademik antarabangsa di China, bersempena Persidangan Antarabangsa bertemakan “Focusing on Global Competitiveness: Building a New Ecosystem for Future Talent Development” yang berlangsung pada 28 Disember 2025 di Xiamen.
 
Penglibatan ini merangkumi penyertaan dalam wacana global pendidikan tinggi serta lawatan strategik ke beberapa institusi pendidikan dan latihan, selari dengan usaha berterusan UPM memperkukuh pengantarabangsaan, jaringan akademik dan kerjasama rentas sempadan.
 
Delegasi UPM yang diketuai oleh Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, Pengarah UPMS, turut disertai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Wong Tze Jin, Dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains (FKPS). Siri lawatan ini melibatkan sesi libat urus akademik dan lawatan kampus ke beberapa institusi pendidikan tinggi di China, antaranya Xiamen University, Xiamen University of Technology, Quanzhou University of Information Engineering, Quanzhou Normal University serta Qunxian World Youth Academy.
 
Secara umum, pengisian sepanjang siri lawatan ini merangkumi pembentangan profil universiti, ucapan kepimpinan dan perbincangan potensi kerjasama akademik, di samping pertukaran cenderamata dan sesi bergambar rasmi sebagai simbol hubungan institusi dan komitmen bersama ke arah pembinaan kerjasama jangka panjang. Perbincangan yang diadakan memberi tumpuan kepada peluang kolaborasi dalam bidang akademik, penyelidikan, mobiliti pelajar dan staf, pembangunan bakat serta perkongsian kepakaran dalam bidang berkaitan pendidikan dan sains gunaan.
 
Delegasi UPM turut mengadakan lawatan ke kemudahan makmal dan pangkalan eksperimen universiti, yang memberi pendedahan kepada amalan terbaik dalam pengurusan makmal, integrasi pengajaran dan penyelidikan serta kerjasama universiti–industri. Lawatan ini membolehkan UPM menilai potensi penyesuaian model tersebut dalam konteks universiti, khususnya bagi memperkukuh ekosistem pengajaran berasaskan aplikasi, penyelidikan berimpak dan pembangunan bakat inovatif.
 
Menurut Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, penglibatan antarabangsa ini mencerminkan pendekatan UPM yang menekankan kerjasama global yang bermakna, berteraskan nilai akademik dan saling melengkapi kekuatan institusi. Beliau turut menegaskan bahawa UPMS berperanan sebagai penghubung penting UPM dengan rantau Borneo, ASEAN dan Asia Timur, sejajar dengan kedudukan Malaysia Timur dalam ekosistem pendidikan tinggi serantau.
 
Secara keseluruhan, siri penglibatan akademik dan lawatan strategik ini mengukuhkan kedudukan UPM sebagai institusi pengajian tinggi berorientasikan global, yang konsisten memperluas jaringan antarabangsa, memperkaya pengalaman akademik serta memanfaatkan kerjasama global bagi menyokong kecemerlangan akademik, penyelidikan dan pembangunan bakat masa hadapan.

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 06/01/2026 | Updated: 06/01/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
W, (06:59:53pm-07:04:53pm, 22 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]