MIRI, 8 Februari 2026 — Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) terus menyalakan semangat dan memperkasa komuniti melalui inisiatif yang memberi peluang kepada anak-anak yatim mengembangkan potensi mereka. Program ini dianjurkan oleh pelajar kursus kokurikulum berkredit QKK 2101 Bakti Siswa (Kumpulan 1), Semester Kedua Sesi Akademik 2025/2026, berlangsung di Kompleks Kebajikan Hamidah Yakub, Miri, dengan pendekatan pembelajaran interaktif dan berstruktur yang menyemai nilai keprihatinan dan tanggungjawab sosial.
Pengisian program ini merangkumi modul menyeluruh seperti aktiviti sukan dan rekreasi, seni kraf dan kemahiran, pembangunan emosi dan sosial, serta pendedahan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Setiap pengisian disusun untuk menyalakan keyakinan diri, merangsang kreativiti, serta memperkukuh kemahiran sosial dan intelektual, sekaligus membentuk peserta menjadi individu yang seimbang, berdaya tahan dan berpotensi tinggi.
Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh YB Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ADUN N.75 Senadin. Beliau menekankan bahawa inisiatif sebegini menyediakan platform pembangunan holistik yang merangkumi sahsiah, kreativiti, kemahiran sosial, intelek dan jati diri. Inisiatif ini turut membuka peluang kepada anak-anak yatim untuk menyumbang kepada pembangunan negeri, selaras dengan visi Sarawak Maju 2030, dan membentuk modal insan berkemahiran tinggi dalam masyarakat yang inklusif.
Menurut Profesor Dr. Shahrul Razid bin Sarbini, Pengarah UPMS, program ini mencerminkan misi universiti dalam memindahkan ilmu kepada komuniti sejajar slogan “Berilmu Berbakti”, menjadikan institusi pendidikan tinggi sebagai jambatan ilmu yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat, terutamanya golongan yang memerlukan sokongan pembangunan.
Turut hadir, Tuan Haji Julaihi bin Hj Mohamad, Pengerusi Exco Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim (PERYATIM) Cawangan Miri, yang merakamkan penghargaan atas komitmen UPMS dan berharap kerjasama strategik sebegini dapat diteruskan demi manfaat lebih ramai anak-anak yatim pada masa hadapan.
Pengarah program, Cik Nur Elyana, menyifatkan kejayaan pelaksanaan sebagai hasil kesepaduan pasukan pelajar pelbagai bidang pengajian. Komitmen tinggi, semangat kebersamaan dan penghargaan terhadap kepelbagaian latar belakang menjadi kekuatan utama dalam menjayakan setiap aktiviti. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para penaja — Square Heavy Industries Sdn. Bhd., Helping Hands Maintenance & Services, Yakult (M) Sdn. Bhd., serta penyumbang individu — atas sokongan dan kerjasama yang memungkinkan program ini dilaksanakan dengan jayanya.
Penganjuran ini membuktikan bahawa UPMS bukan sahaja mendidik, malah menggerakkan transformasi komuniti, mewujudkan ruang pembelajaran bermakna yang memperkasa golongan muda dan membina masyarakat berilmu, berdaya tahan dan inklusif demi masa depan yang lebih gemilang.
Date of Input: 11/02/2026 | Updated: 11/02/2026 | lanz
MEDIA SHARING