KURSUS PENGURUSAN PENTERNAKAN BABI TARIK PENYERTAAN RAMAI DI UPM SARAWAK | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » KURSUS PENGURUSAN PENTERNAKAN BABI TARIK PENYERTAAN RAMAI DI UPM SARAWAK

KURSUS PENGURUSAN PENTERNAKAN BABI TARIK PENYERTAAN RAMAI DI UPM SARAWAK

Bintulu– Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) menerusi Pusat Pertanian Putra (PPP) telah menganjurkan Kursus Pengurusan Penternakan Babi (secara teori sahaja) yang mendapat sambutan amat menggalakkan daripada komuniti.
 
Bagi memenuhi permintaan tinggi, kursus ini telah diadakan dalam dua sesi berasingan iaitu pada 11 Oktober 2025 dan 18 Oktober 2025, dengan kehadiran seramai 86 peserta bagi setiap kumpulan menjadikan jumlah keseluruhan peserta seramai 172 orang. Program ini telah dijalankan di UPM Sarawak, Bintulu.
 
Kursus ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta berkaitan pengurusan asas penternakan babi secara sistematik dan berkesan. Antara topik yang dibincangkan termasuk pengenalan kepada penternakan babi, pemilihan dan pengurusan baka, pemilihan lokasi serta reka bentuk kandang, sistem pemeliharaan perindukan dan pembesaran, pemakanan ternakan, program kesihatan haiwan, serta penyediaan dan pengurusan rekod ladang.
 
Kursus ini juga dijangka dapat meningkatkan kemahiran dan tahap kesediaan peserta untuk menjalankan projek penternakan babi secara lebih profesional, mampan dan berdaya saing.
Para peserta telah diberi pencerahan oleh barisan penceramah berpengalaman, antaranya:
Ts. Dr. Carlina Freddie Simol @ Rachellynna, Pegawai Pertanian Kanan, Ketua Seksyen Ternakan dan Akuakultur, Pusat Pertanian Putra, UPMS Dr. Bura Paul Thlama, Pensyarah Kanan, di Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, UPMS, Dr. Siong Jing Jing, Pegawai Veterinar, Ketua Bahagian Bintulu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak.
 
Menurut Timbalan Pengarah Pusat Pertanian Putra, UPMS, Prof Madya Dr. Hajah Amy Halimah Binti Rajaee, penganjuran kursus ini adalah sebahagian daripada komitmen UPM Sarawak dalam menyokong pembangunan industri ternakan di Sarawak melalui penyaluran ilmu serta latihan berasaskan amalan terbaik. Peserta kursus diharap dapat mematuhi garis panduan penternakan yang dijelaskan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) kerana garis panduan ini sangat penting bagi memastikan sektor penternakan ini boleh berjalan lancar. Kedegilan sesetengah pihak boleh menyebabkan terjadinya wabak penyakit yang boleh melumpuhkan keseluruhan sektor penternakan ini.
 
PPP UPMS juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengarah UPMS yang sentiasa memberi sokongan untuk melaksanakan amanah yang diberikan. Penghargaan juga kepada urus setia kursus, Dr. Zaidi Suif, Cik Josephine Jawai Makos, Puan Jega Jantai, Encik Yngwie Cheng, jurufoto Encik Benedict Miden, Encik Iqbal Hidayat Brawi dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan kursus ini.
 
Pusat Pertanian Putra (PPP) akan terus memperkasa usaha pembangunan komuniti melalui penganjuran kursus dan latihan yang relevan dengan keperluan semasa industri pertanian dan penternakan di Sarawak.
 
Untuk maklumat lanjut mengenai program-program akan datang anjuran Pusat Pertanian Putra (PPP), UPMS sila layari laman web rasmi UPM Sarawak atau hubungi pihak urus setia.
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 22/10/2025 | Updated: 22/10/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
-
W, (08:14:06pm-08:19:06pm, 22 Oct 2025)   [*LIVETIMESTAMP*]