KUCHING: Sidang Kemuncak Integriti Antarabangsa Borneo (BIIS) 2025 menjadi platform penting dalam menonjolkan Sarawak sebagai peneraju kecemerlangan ilmu dan amalan integriti di rantau ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Murshid Diraja Dr Juanda Jaya berkata, BIIS juga adalah landasan penting dalam memperkukuh nilai integriti dan etika sebagai asas kepada tadbir urus yang cekap dan telus.
“Program ini bukan sekadar forum intelektual, malah berperanan sebagai jambatan kerjasama serantau ke arah mewujudkan komuniti yang menjunjung prinsip integriti dalam setiap aspek kehidupan,” katanya pada perasmian persidangan itu di sini, hari ini.
Persidangan dirasmikan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang mewakili Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dianjurkan selama dua hari bermula semalam, Dr Juanda berkata, melalui penglibatan aktif institusi dari dalam dan luar negara, negeri ini terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa sebagai antara peneraju utama dalam memperkasa agenda integriti.
Penganjuran BIIS 2025 turut menghimpunkan lebih 800 peserta dari pelbagai negara serantau, termasuk Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura dan Filipina.
“Peserta terdiri daripada pelajar sekolah menengah, mahasiswa, penjawat awam, wakil institusi pengajian tinggi, agensi penguat kuasa serta pelbagai pertubuhan masyarakat awam,” katanya lagi.
Dr Juanda berkata, BIIS 2025 digerakkan berlandaskan empat teras utama iaitu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan integriti, memperkukuh kolaborasi antara institusi, memacu inovasi dalam tadbir urus dan membentuk jaringan strategik di peringkat serantau.
Salah satu kelainan BIIS kali ini ialah penglibatan aktif pelajar sekolah dan pelajar institusi pengajian tinggi dalam sesi pembentangan dan perbincangan berkaitan dasar awam, ujar beliau.
“Inisiatif itu membuka ruang kepada generasi muda menyumbang idea serta memberi pandangan mengenai pemupukan integriti dan kepimpinan beretika.
“Mendidik integriti mesti bermula dari bawah. Pelajar yang kita libatkan hari ini ialah pemimpin masa hadapan. Kita mahu mereka dibentuk dalam persekitaran yang membudayakan nilai jujur, amanah dan beretika,” ujar Dr Juanda.
Beliau menambah, BIIS adalah kesinambungan kepada pelbagai inisiatif integriti yang pernah dilaksanakan Kerajaan Sarawak sejak penubuhan Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) pada 2018.
Sementara itu katanya, pelaksanaan Ordinan Ombudsman Sarawak pada 2023 dan program pengukuhan integriti di Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu pada 2024 adalah antara contoh usaha berterusan dalam mendukung Pelan Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS 2030).
“Ini kerana Kerajaan Sarawak komited untuk menjadi wilayah maju menjelang 2030, bukan sahaja dari segi ekonomi, malah dalam aspek tadbir urus yang bersih dan berintegriti tinggi,” katanya lagi.
BIIS 2025 dianjurkan oleh UNIONS dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMS), Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB), Business Events Sarawak (BE Sarawak), serta Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP).