BINTULU, 24 Ogos – Abang Muiz Faizzudin bin Abang Arman dari Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Keling, Sungai Asap, muncul sebagai johan Pertandingan Bercerita Kisah-Kisah Dalam Al-Quran sempena Festival Kesenian Islam (iFest) 2025 kategori sekolah rendah yang telah berlangsung pada 20 Ogos 2025 lalu di Dewan Kuliah Pusat 2A (DKP2A), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS).
Naib johan disandang Wan Wafaa Ulya binti Ruhaidi dari SK Agama Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, manakala tempat ketiga dimenangi Nurul Syuhadah binti Osman dari SK Labang.
Pertandingan anjuran UPMS ini berjaya menghimpunkan seramai 24 peserta sekolah rendah dari pelbagai daerah di Sarawak termasuk Bintulu, Tatau, Kuching dan Kapit. Para peserta tampil dengan penuh keyakinan, menonjolkan bakat dan kreativiti masing-masing dalam seni penceritaan yang sarat dengan nilai pengajaran.
Panel juri pertandingan terdiri daripada Dr. Karmilah binti Abdullah dari Jabatan Sains Sosial dan Pengurusan, Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, UPM Sarawak; Dr. Aaliyawani Ezzerin binti Sinin dari Jabatan Sains dan Teknologi, Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, UPM Sarawak; serta Puan Nurul Hidayah binti Abdul Halim dari Sekolah Kebangsaan Sungai Kem Batu 18.
Menurut Penyelaras Pertandingan Bercerita iFest 2025, Dr. Sharon Ong Yong Yee, pertandingan ini bukan sahaja menjadi platform untuk mengasah bakat bercerita, tetapi juga sebagai medium penting memupuk nilai murni, keyakinan diri, dan penghargaan terhadap seni penceritaan.
“Kami amat berbangga dengan semangat serta kreativiti para peserta yang berjaya menghidupkan kisah-kisah penuh pengajaran melalui gaya penyampaian masing-masing. Terima kasih diucapkan kepada semua jawatankuasa penganjur yang telah bertungkus-lumus menjayakan program ini serta kepada semua peserta dan guru pembimbing yang telah memberi komitmen penuh,” katanya.
Pertandingan bercerita ini merupakan salah satu acara kemuncak iFest 2025, yang dianjurkan setiap dua tahun oleh Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) sebagai wadah menggalakkan keterlibatan pelajar dalam aktiviti seni, budaya dan pendidikan yang membina jati diri generasi muda.
— Ditulis oleh Dr. Sharon Ong Yong Yee, Penyelaras Pertandingan Bercerita iFest 2025, Universiti Putra Malaysia Sarawak.
Date of Input: 25/08/2025 | Updated: 25/08/2025 | lanz
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia