Dalam menjayakan projek penternakan puyuh, penternak perlu memberi perhatian kepada beberapa perkara asas dan keperluan seperti baka, reban, makanan dan penyimpanan rekod. Pemilihan tempat pemeliharaan seperti reban yang digunakan sebagai tempat penternakan puyuh hendaklah sesuai, bersih, kering dan mempunyai pengudaraan yang baik.
Keadaan ini hendaklah dikekalkan sepanjang tempoh penternakan bagi memastikan puyuh yang dipelihara adalah bebas daripada sebarang jangkitan penyakit atau parasit. Untuk projek inovasi ini, Kumpulan Ngeretes telah mengaplikasikan “Projek Sangkar Puyuh Bertingkat: Fungsian 3 dalam 1" untuk komuniti di 5 buah kampung di Daerah Subis yang dipilih (Kampung Pejuang Kelulit, Kampung Belunu Kelulit, Kampung Sulap Lada Kelulit, Kampung Pulau Untong Kelulit serta Kampung Labau Kelulit) bagi menempatkan puyuh perindukan, puyuh pembesaran dan puyuh pengeluaran di bawah projek Komuniti@UniMadani.
Kumpulan Ngeretes yang terdiri daripada Ts. Dr. Carlina Freddie Simol @ Rachellynna, En. Khalid Bin Nawi, Pn. Jega Anak Jantai, En. Yusri Bin Drahman dan En. Banyi Anak Nyamang telah menampilkan FUNGSIAN 3 DALAM 1 SANGKAR BURUNG PUYUH dan berjaya dinobatkan sebagai Tempat Pertama dalam Pertandingan Inovasi Pertanian Bandar sempena Penganjuran Seminar Kebangsaan Pemerkasaan Komuniti 2024, SKPK’24 yang telah berlangsung pada 15 – 16 Oktober 2024 anjuran Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC UPM). Hadiah yang berjaya dibawa balik oleh Kumpulan Ngeretes adalah Geran projek pengembangan komuniti (KTGS@PTJ UCTC) bernilai RM5,000.00 + wang tunai RM500.00 dan sijil.
Tempat Kedua disandang oleh Kumpulan Ko-Putra D’ Lestari 5R yang terdiri daripada Dr. Latifah Omar, Prof. Madya Dr. Leong Sui Sien, Ts. Dr. Carlina Freddie Simol@ Rachellynna, En. Muhd. Hasyrin Hassan dan En. Muhd. Aznie Abdullah membawa pulang hadiah bernilai RM300 serta sijil. Populasi rumpai akuatik iaitu keladi bunting di Daerah Dalat sangat membebankan komuniti Dalat yang masih bergantung kepada sungai sebagai sumber pendapatan dan pengangkutan. Pendekatan dalam inovasi Dua Dalam Satu Produk LAH menggunakan rumpai akuatik invasif yang tidak diingini (Refuse) ini sebagai makanan dalam penternakan larva lalat askar hitam (LAH) bagi mengurangkan (Reduce)populasi keladi bunting dalam Sungai / Batang Oya di Daerah Dalat.
Keladi bunting dikumpul dan digunakan (Reuse) sebagai makanan dalam penternakan larva lalat askar hitam bagi mendapatkan fras (tinja larva) dan menuai larva pada insta ke 5 untuk dijadikan makanan ternakan puyuh, ayam kampung kacukan dan ikan tilapia. Inovasi ini dapat manfaatkan dan menguruskan pencerobohan keladi bunting dalam Sungai Oya, Dalat dan kegunaan sebahagian larva dan pupa dapat dikitar semula ( Recyle) dan dijadikan sebagai stok bagi meneruskan kitaran hidup serangga lalat askar hitam ini.
Proses ini akan berterusan daripada peringkat lalat dewasa, telur, larva, dan pupa yang mana peringkat larva adalah fasa terpenting yang berperanan sebagai agen pengurai dalam pengurusan populasi keladi bunting di Dalat. Larva pada insta ke lima juga dijadikan sebagai satu produk (Repurpose) komuniti yang melibatkan Koperasi Dalat Lestari Berhad. Manakala fras iaitu produk kedua daripada proses penternakan larva lalat askar hitam dapat digunakan (Repurpose) sebagai baja organik.
Sebab itulah projek ini dinamakan sebagai Dua Dalam Satu Produk LAH. Projek ini adalah sinergi di antara UPMKB dan Koperasi Dalat Lestari Berhad yang mana UPMKB memberikan hak upaya kepada koperasi untuk mengembangkan potensi dua produk ini dan menjadikan produk ini sebagai sumber untuk menjana pendapatan ahli koperasi dan komuniti sekitar Dalat.
Sementara itu, Pemerkasaan Komuniti Melalui Kursus Pemindahan Teknologi Pertanian anjuran Pusat Pertanian Putra, UPMKB bagi tahun 2022 sehingga 2024 turut menarik perhatian panel juri dengan memberi penghargaan pembentangan poster terbaik. Ahli yang terlibat dalam penyediaan poster tersebut terdiri daripada Timbalan Pengarah PPP, Prof. Madya Dr. Amy Halimah Rajaee, Ts. Dr. Carlina Freddie Simol @ Rachellynna, Cik Josephine Jawai Makos, Pn. Jega Jantai, Pn. Norbaya Che Rus dan En. Khalid Nawi.
Selain daripada itu, projek Putra@Pusa: Transformasi Sosioekonomi dan Pembangunan Produk Nipah Komuniti Usahawan Pusa, Sarawak juga telah mendapat penghargaan bagi pembentangan poster terbaik. Projek ini dijayakan oleh Dr. Hanisah Kamilah Bt Abd Razak, Dr. Shiamala Devi Ramaiya, Dr. Franklin Ragai Kundat, Dr. Nuratika Tamimi Sheikh Mohamed, En. Calson Gimang Endawie dan Pn. Tracy Saptu. Turut serta Pengerusi Komuniti Koperasi Kariah Masjid Darul U’lum Kalok Betong Berhad, En. Juhlie @ Joblee Bin Ramli Gula apong, ialah produk yang diproses daripada air nira merupakan salah satu produk utama Pusa, Sarawak.
Gula apong di Pusa terkenal dengan kemanisan semulajadinya di seluruh Sarawak. Namun begitu, gula apong keluaran daerah Betong, Pusa ini masih belum dikomersialkan secara meluas. Oleh yang demikian, projek komuniti ini bertujuan untuk menyampaikan ilmu bagi memperkembangkan produk gula apong ini kepada pelbagai produk agromakanan lain untuk meningkatkan taraf ekonomi masyarakat sekitar.
Pemindahan ilmu seperti pembuatan aiskrim gula apong dan jem buah nipah telah dikongsikan kepada pihak komuniti. Dalam masa yang sama, projek ini dalam usaha bagi mewujudkan SOP (Standard Operation Procedure) dalam penghasilan produk gula apong yang berkualiti dan mempunyai kadar kemanisan yang setara. Ilmu kaedah penyimpanan air nira pada suhu rendah turut dikongsikan dalam projek ini. Selain itu kaedah hidroponik juga diadakan bagi mendidik para usahawan untuk pertanian integrasi sayur-sayuran dan pokok nipah. Projek yang masih berlansung ini, kini sedang dalam usaha meningkatkan kualiti pemasaran gula apong bersama-sama komuniti usahawan Pusa, Sarawak.
Date of Input: 17/10/2024 |
Updated: 17/10/2024 | lanz
MEDIA SHARING