UPMS TAWAR PROGRAM SARJANA TENAGA BOLEH DIPERBAHARUI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » UPMS TAWAR PROGRAM SARJANA TENAGA BOLEH DIPERBAHARUI

UPMS TAWAR PROGRAM SARJANA TENAGA BOLEH DIPERBAHARUI

BINTULU: Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) kini menawarkan program Sarjana Tenaga Boleh Diperbaharui (Master in Renewable Energy: MRE) bagi melahirkan lebih ramai golongan profesional yang berkemahiran dalam bidang tenaga bersih dan teknologi hijau.

UPMS dalam laporan hari ini berkata, program sarjana secara kerja kursus itu berada pada tahap 7 Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) dengan jumlah 42 kredit yang boleh diselesaikan dalam tempoh minimum tiga semester atau satu setengah tahun.

Dua pengambilan ditawarkan iaitu pada Oktober 2026 dengan tarikh tutup permohonan pada 31 Julai ini nanti manakala bagi pengambilan Mac 2027 dibuka sehingga 31 Disember tahun ini.

Program itu secara amnya direka khas untuk golongan profesional yang sedang bekerja menerusi konsep pembelajaran teradun (blended learning), membabitkan kelas dalam talian secara langsung termasuk kelas hujung minggu setiap malam Jumaat, Sabtu dan Ahad.

"Pelajar hanya perlu menghadiri sesi pembelajaran fizikal di kampus UPMS antara 8 hingga 9 minggu bagi setiap semester, membolehkan mereka meneruskan kerjaya sambil melanjutkan pengajian," ujarnya.

Antara bidang yang akan dipelajari termasuk tenaga solar, tenaga angin, hidro, biofuel, penyimpanan tenaga serta pengurusan tenaga pintar yang berkaitan dengan keperluan industri tenaga masa kini.

Program itu katanya turut membuka peluang kepada individu tanpa ijazah pertama melalui laluan APEL T-7, tertakluk kepada penilaian APEL oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berdasarkan pengalaman kerja yang signifikan.

Graduan program ini berpotensi menceburi pelbagai kerjaya seperti pengurus tenaga, pegawai alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), jurutera projek tenaga boleh diperbaharui serta juruaudit tenaga.

Penyelaras Program, Dr Omar Faruqi Bin Marzuki, berkata program berkenaan memberi peluang kepada golongan bekerja untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang tenaga hijau yang semakin berkembang.

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui Dr Omar di omar_faruqi@upm.edu.my atau Pejabat Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembiayaan dan Siswazah), FKPS UPMS melalui tdpps.fkps_upms@upm.edu.my atau talian +60 86-855 348.

Permohonan secara dalam talian boleh dibuat melalui laman kemasukan pengajian siswazah UPMS.

Date of Input: 23/07/2026 | Updated: 23/07/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (07:12:17am-07:17:17am, 24 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]