Putra Outreach | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» EXTENSION » Community Development » Putra Outreach

Putra Outreach

1. UPMS PACU KEBANGKITAN KOMUNITI

MIRI, 8 Februari 2026 — Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) terus menyalakan semangat dan memperkasa komuniti melalui inisiatif yang memberi peluang kepada anak-anak yatim mengembangkan potensi mereka. Program ini dianjurkan oleh pelajar kursus kokurikulum berkredit QKK 2101 Bakti Siswa (Kumpulan 1), Semester Kedua Sesi Akademik 2025/2026, berlangsung di Kompleks Kebajikan Hamidah Yakub, Miri, dengan pendekatan pembelajaran interaktif dan berstruktur yang menyemai nilai keprihatinan dan tanggungjawab sosial.
 
Pengisian program ini merangkumi modul menyeluruh seperti aktiviti sukan dan rekreasi, seni kraf dan kemahiran, pembangunan emosi dan sosial, serta pendedahan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Setiap pengisian disusun untuk menyalakan keyakinan diri, merangsang kreativiti, serta memperkukuh kemahiran sosial dan intelektual, sekaligus membentuk peserta menjadi individu yang seimbang, berdaya tahan dan berpotensi tinggi.
 
Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh YB Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ADUN N.75 Senadin. Beliau menekankan bahawa inisiatif sebegini menyediakan platform pembangunan holistik yang merangkumi sahsiah, kreativiti, kemahiran sosial, intelek dan jati diri. Inisiatif ini turut membuka peluang kepada anak-anak yatim untuk menyumbang kepada pembangunan negeri, selaras dengan visi Sarawak Maju 2030, dan membentuk modal insan berkemahiran tinggi dalam masyarakat yang inklusif.
 
Menurut Profesor Dr. Shahrul Razid bin Sarbini, Pengarah UPMS, program ini mencerminkan misi universiti dalam memindahkan ilmu kepada komuniti sejajar slogan “Berilmu Berbakti”, menjadikan institusi pendidikan tinggi sebagai jambatan ilmu yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat, terutamanya golongan yang memerlukan sokongan pembangunan.
 
Turut hadir, Tuan Haji Julaihi bin Hj Mohamad, Pengerusi Exco Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim (PERYATIM) Cawangan Miri, yang merakamkan penghargaan atas komitmen UPMS dan berharap kerjasama strategik sebegini dapat diteruskan demi manfaat lebih ramai anak-anak yatim pada masa hadapan.
 
Pengarah program, Cik Nur Elyana, menyifatkan kejayaan pelaksanaan sebagai hasil kesepaduan pasukan pelajar pelbagai bidang pengajian. Komitmen tinggi, semangat kebersamaan dan penghargaan terhadap kepelbagaian latar belakang menjadi kekuatan utama dalam menjayakan setiap aktiviti. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para penaja — Square Heavy Industries Sdn. Bhd., Helping Hands Maintenance & Services, Yakult (M) Sdn. Bhd., serta penyumbang individu — atas sokongan dan kerjasama yang memungkinkan program ini dilaksanakan dengan jayanya.
 
Penganjuran ini membuktikan bahawa UPMS bukan sahaja mendidik, malah menggerakkan transformasi komuniti, mewujudkan ruang pembelajaran bermakna yang memperkasa golongan muda dan membina masyarakat berilmu, berdaya tahan dan inklusif demi masa depan yang lebih gemilang.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
2. PROGRAM OUTREACH KPT-PRIHATIN MADANI ANJURAN HOSPITAL SAAS, UPM SARAWAK DAN PELAJAR BAKTI SISWA PERKASA KESEDARAN KESIHATAN KOMUNITI KUALA TATAU

22 NOVEMBER 2025, KUALA TATAU - Program Outreach KPT Prihatin Madani @ Baksis – Program Perkongsian dan Pengembangan Pengetahuan Kesihatan telah berlangsung dengan meriah di Dewan Masjid Al-Amin, Kuala Tatau. Program ini dianjurkan oleh Hospital Sultan Abdul Aziz Shah dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) Sarawak serta pelajar Kursus QKK2101 Bakti Siswa (Semester 1, Sesi 2025/2026).
 
Program komuniti ini melibatkan penyertaan empat buah kampung, iaitu Kampung Hilir, Kampung Seberang Jaya, Kampung Nour Iman dan Kampung Haji Ismail. Lebih 300 peserta hadir bagi memanfaatkan pelbagai aktiviti yang disediakan, merangkumi taklimat kesihatan, pemeriksaan kesihatan percuma, demonstrasi membasuh tangan dan menggosok gigi dengan betul untuk kanak-kanak, demonstrasi CPR, pertandingan mewarna, sukaneka, cabutan bertuah serta agihan bakul makanan.
 
Bagi memeriahkan suasana, program dimulakan dengan sesi senamrobik yang disertai penduduk kampung dan para pelajar. Pengarah Program bagi kursus QKK2101 Bakti Siswa, Queenie Victor, meluahkan rasa gembira dan terharu dengan sambutan menggalakkan daripada komuniti setempat. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Hospital Sultan Abdul Aziz Shah atas penganjuran dan kerjasama yang membuka ruang kepada pelajar untuk berbakti serta mendekati masyarakat.
 
Penasihat Program Bakti Siswa, Puan Nur Asyiqin Binti Zaidi, turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program ini. Menurut beliau, program sebegini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk menyumbang kepada masyarakat, malah membantu mengasah bakat dan meningkatkan kemahiran mereka dalam aktiviti kemasyarakatan.
 
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada komuniti Kuala Tatau atas keterlibatan yang begitu positif serta berharap agar program yang dijalankan dapat memberi impak bermakna, khususnya dalam meningkatkan kesedaran dan pengetahuan berkaitan kesihatan dalam kalangan penduduk Kuala Tatau.

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 


3. PROGRAM OUTREACH PENDIDIKAN TINGGI DARO, UPMKB

Daro, 14 Januari 2024 - Program Outreach Pendidikan Tinggi Daro; Program Pengembangan Pertanian (Sistem Tanaman Hidroponik) di Kampung Badong, Daro. Program ini dihadiri oleh lebih kurang 40 orang penduduk kampung. Turut hadir dalm program ialah En. Haslimi bin Hassan, Ketua Kampung Badong.

Dalam program ini, peserta diberi pendedahan mengenai cara-cara membuat tanaman hidroponik dengan kos rendah menggunakan bahan yang mudah diperolehi. Selain itu, peserta turut diajar cara membuat keropok lekor oleh staf serta pelajar daripada Kolej Sri Rajang UPMKB. Diharapkan program ini memberi manfaat serta ilmu baru untuk para peserta.
 
Program Outreach Pendidikan Tinggi Daro hari kedua telah diadakan di SMK Matu bermula jam 9 pagi hingga 12 tengahari. Program tersebut telah dihadiri oleh seramai 148 orang pelajar tingkatan 5 yang akan menghadapi peperiksaan SPM tidak lama lagi.
 
Antara pengisian program ini adalah taklimat kemasukan daripada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang terlibat iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM). Taklimat ini memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai cara permohonan kemasukan ke IPT selain cara memilih kursus pengajian kelak. Ceramah motivasi bertajuk SPM: What’s Next turut disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Noorasmah binti Saupi, Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, UPMKB.
 
Ceramah ini memberikan motivasi kepada pelajar untuk berusaha mencapai kejayaan cemerlang dalam SPM seterusnya menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan mencapai kejayaan. Pada penghujung program, pelajar turut melawat ke booth pameran IPTA untuk mendapat info serta input secara langsung dari wakil IPTA. Diharapkan para pelajar SMK Matu mendapat manfaat dari program ini dan mendapat keputusan cemerlang dalam SPM.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

4. PROGRAM PUTRA OUTREACH 1.0 @ SK ULU SEGAN

Program Putra Outreach 1.0 merupakan program khidmat pelajar Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) anjuran Majlis Tertinggi Mahasisiwa Kolej Sri Rajang.  Program ini disokong oleh pelbagai pihak yang telah tampil memberikan sumbangan wang tunai mahupun keperluan lain bagi menjayakan program ini. Program ini memperkenalkan penggunaan sistem tenaga solar bagi kegunaan harian dan cara pemasangannya kepada semua peserta.

Program ini difokuskan kepada sekolah yang tidak mempunyai bekalan elektrik di mana UPMKB ingin berkongsi maklumat berkaitan dengan tenaga solar disamping mengadakan aktiviti sampingan bersama pihak PIBG sekolah. Seramai 30 orang sukarelawan mahasiswa dari UPMKB telah terlibat dalam program ini. Sekitar Bintulu terdapat 7 buah sekolah yang masih tidak mempunyai bekalan elektrik antaranya ialah  Sekolah Kebangsaan Ulu Segan yang kami pilih memandangkan jaraknya hanya 35 KM dari UPMKB.

Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sepanjang program ini berlangsung, antaranya adalah ceramah berkaitan tenaga sistem solar disampaikan Dr. Fatin Hanna Binti Naning@Zin, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Asasi dan Kejuteraan UPMKB, demo pemasangan sistem solar oleh Encik Shamsuddin Hj. Yatim iaitu Pembantu Pertanian, Taman Pertanian Universiti UPMKB, perkongsian ilmu penghasilan kompos dan baja foliar oleh pelajar UPMKB, penanaman anak pokok buah sekitar kawasan sekolah, penjualan dan promosi hasil ladang UPMKB dan menaiktaraf wakaf menunggu SK Ulu Segan.






5. PROGRAM SISWA BERSAMA KOMUNITI ZON BINTULU

Program Siswa Bersama Komuniti merupakan program yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dijalankan di sekitar negeri Sarawak sempena bulan kemerdekaan ini. Lima (5) zon telah dipilih menjadi lokasi sukarelawan bagi mahasiswa mendekati masyarakat Sarawak iaitu Bintulu, Miri, Sibu, Betong dan Kuching. Aktiviti ini adalah untuk memberi bantuan kepada masyarakat kampung setempat disamping mendedahkan kepada masyarakat kemahiran-kemahiran yang terdapat di dalam Institusi Pengajian Tinggi yang ada di Sarawak.

Bagi Zon Bintulu seramai 30 orang mahasiswa daripada UPM Kampus Bintulu telah terlibat dalam menjayakan program ini yang dijalankan pada 15 September 2018 (Sabtu), bertempat di Kampung Kuala Segan, Bintulu. UPM Kampus Bintulu (UPMKB) telah mengadakan beberapa pengisian program sepanjang hari tersebut antaranya slot bengkel akademik (English, Matematik dan Sains) untuk pelajar sekolah rendah, slot taklimat peningkatan akademik untuk pelajar sekolah menengah dan ibubapa pelajar, slot forum integriti untuk penduduk kampung dan slot bengkel peningkatan kemahiran (masakan, jahitan dan kecantikan) untuk kaum wanita. Pengisian slot program dilakukan oleh pensyarah dan staf UPMKB dan juga pihak KEMAS. Bagi menyemarakkan lagi nilai kesukarelawan, semangat patriotism serta integriti mahasiswa, mereka juga telah mengadakan aktiviti gotong royong membersih dan baikpulih dewan masyarakat dan penanaman pokok buah-buahan sebagai sumbangan bakti tenaga kepada penduduk kampung.

Intipati pengisian program ini dapat memberi pendedahan kepada mahasiswa dalam mengaplikasikan ilmu pengetahuan yang dipelajari dengan melatih kemahiran insaniah dalam diri mereka seterusnya menjurus kepada matlamat KPM sebagai penganjur program ini iaitu untuk membentuk mahasiswa yang mempunyai semangat patreiotisme, kesukarelawan yang tinggi, prihatin, kasih mengasihi dan saling hormat menghormati. Selain itu hal ini juga dapat meninggalkan impak yang positif terhadap komuniti setempat.









 

Updated:: 11/02/2026 [lanz]

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
-
W, (10:03:07am-10:08:07am, 18 Feb 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]