BINTULU, 5 Julai 2024 - Seramai 118 pelajar dan guru-guru Sekolah Tadika Hikmah Bintulu telah berpeluang untuk melawat Perpustakaan Universiti Putra Malaysia Bintulu (UPMKB) pada hari ini dalam satu program lawatan sambil belajar yang dianjurkan oleh pihak sekolah.
Lawatan ini bertujuan untuk mendedahkan kepada para pelajar tentang kepentingan membaca dan menggalakkan minat mereka terhadap ilmu pengetahuan. Pelajar-pelajar berpeluang untuk menjelajah koleksi buku yang luas di perpustakaan, serta menyertai pelbagai aktiviti menarik yang telah disediakan.
Antara aktiviti yang disertai oleh pelajar termasuklah Tayangan Visual 3D, menanam benih tauge dan Permainan bowling berkumpulan. Para pelajar juga berpeluang untuk bertemu dengan kakitangan Perpustakaan yang menerangkan ruang pameran dan bilik pembelajaran di dalam perpustakaan.
Ketua Perpustakaan UPMKB, Encik Awang Ahmad Faizi Awang Dahlan, berkata bahawa pihak perpustakaan sentiasa mengalu-alukan lawatan dari sekolah-sekolah dan institusi pendidikan lain untuk berkunjung ke perpustakaan dan merasai pengalaman berada di sini.
"Kami komited untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada para pengguna kami, dan kami berharap lawatan ini akan memberi inspirasi kepada para pelajar untuk menjadi pembaca yang bersemangat," katanya.
Lawatan ini telah diakhiri dengan sesi lawatan sekitar kampus dan pengunjung dapat melihat sendiri keindahan yang terdapat di dalam UPMKB.
Date of Input: 09/07/2024 |
Updated: 09/07/2024 | lanz
MEDIA SHARING