Bintulu – Pertandingan Seni Khat sempena Festival Kesenian Islam 2025 (iFEST 2025) telah berlangsung pada 18 Ogos 2025 bertempat di Pusat Islam, UPMS. Pertandingan anjurkan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) bersama Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) ini telah menghimpunkan seramai 45 orang peserta dari pelbagai bahagian di Sarawak malah turut disertai oleh peserta dari Brunei Darussalam (Universiti Islam Sultan Sharif Ali – UNISSA).
Pertandingan ini bertujuan untuk menyemarakkan semula kecintaan terhadap seni khat dalam kalangan generasi muda serta memperkasakan warisan tulisan Jawi sebagai lambang ketamadunan bangsa.
Pertandingan ini telah berlangsung dengan jayanya dalam suasana penuh harmoni, ilmiah dan bermakna. Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan telah membuka ruang kepada penggiat seni khat untuk mempersembahkan karya mereka kepada khalayak umum. Daya cipta, kesabaran, serta kecintaan terhadap seni khat yang dizahirkan oleh para peserta amat membanggakan dan wajar dijadikan contoh oleh generasi muda masa kini.
Sesungguhnya, seni khat bukan sekadar tulisan indah, tetapi merupakan manifestasi kehalusan jiwa, warisan ketamadunan, dan lambang kecintaan terhadap agama dan budaya. Diharapkan pertandingan seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan agar warisan ini terus mekar dan segar dalam arus kemodenan.
Sepanjang pertandingan, peserta menzahirkan bukan sekadar keindahan tulisan, tetapi juga semangat melestarikan warisan. Setiap helaian menjadi bukti bahawa seni khat terus hidup di hati setiap masyarakat. Semoga seni khat terus mekar sebagai lambang peradaban dan identiti bangsa yang luhur.
Date of Input: 20/08/2025 |
Updated: 20/08/2025 | lanz
MEDIA SHARING