Seramai 81 orang mahasiswa dari Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) telah menyertai misi sukarelawan bagi membantu komuniti yang terjejas akibat banjir baru-baru ini. Misi sukarelawan yang dijalankan pada 1 dan 2 Februari 2025 berteraskan semangat Jiwa Putra selari dengan moto UPM iaitu 'BERILMU BERBAKTI' merupakan inisiatif Pejabat Pengurusan Pelajar UPMKB dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar UPM.
Antara aktiviti yang dilakukan oleh sukarelawan adalah membantu membersihkan rumah. Sebanyak 13 buah rumah dan 1 buah tadika telah terlibat dalam operasi pembersihan. Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban mangsa banjir tetapi juga memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengamalkan nilai-nilai kemanusiaan dan keprihatinan terhadap masyarakat.
Menurut Ketua Pentadbir Pejabat Pengurusan Pelajar UPMKB, En. Mohamad Syukri Mohamad Adnan, usaha ini bertujuan memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa serta menggalakkan mereka untuk terlibat secara aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan. Beliau juga menekankan bahawa program ini adalah salah satu kaedah untuk mahasiswa mengaplikasikan nilai-nilai kepimpinan dan kerja berpasukan dalam situasi sebenar.
Muhammad Hadif Husaini, merupakan salah seorang sukarelawan turut menyatakan penghargaan kepada semua sukarelawan yang sanggup meluangkan masa dan tenaga bagi membantu mereka yang memerlukan. "Melihat kegembiraan di wajah mangsa selepas menerima bantuan benar-benar memberi kepuasan dan semangat kepada kami untuk terus berbakti. Kami berharap inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan dan menjadi inspirasi kepada lebih ramai mahasiswa untuk turut serta dalam program kesukarelawanan," katanya.
Kata salah seorang Guru di tadika tersebut, “Alhamdulillah, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada sukarelawan dari kalangan pelajar UPM atas penglibatan dalam misi bantuan pasca banjir. Kehadiran dan usaha gigih para sukarelawan, kerja-kerja pembersihan telah berjalan dengan lancar serta dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan efektif. Bantuan yang diberikan amat bermakna dalam meringankan beban kami yang terkesan akibat bencana ini.”
Dengan adanya usaha sebegini, diharapkan dapat memupuk nilai kesukarelawanan dalam diri mahasiswa tanpa mengira kaum dan agama serta dapat membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat.
Date of Input: 07/02/2025 |
Updated: 07/02/2025 | lanz
MEDIA SHARING