KUCHING: Borneo International Integrity Summit (BIIS) 2025 pada 29 dan 30 Julai ini yang akan diadakan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) menjadi platform strategik bagi memperkasakan nilai integriti dalam modal insan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Integriti dan Ombudsman Datuk Dr Juanda Jaya berkata sidang kemuncak itu dijangka dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Sidang ini diadakan bertemakan 'Driving Innovation, Transparency and Ethical Leadership for a Sustainable Future' serta bakal menghimpunkan lebih 800 peserta dari Malaysia, Brunei, Indonesia dan negara serantau.
“Sidang tersebut juga akan menjadi pemangkin kerjasama rentas institusi pendidikan dan agensi kerajaan dalam melahirkan pemimpin masa depan yang berwibawa, beretika dan berakauntabiliti tinggi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media BIIS 2025 di Bangunan Bailtulmakmur II di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM) Sarawak Profesor Dr Shahrul Razid Sarbini.
Juanda berkata, penganjuran BIIS 2025 adalah selaras dengan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkukuhkan budaya integriti dan tadbir urus yang telus serta beretika.
Sidang kemundak tersebut yang dianjurkan oleh Konsortium Universiti-Universitas Borneo (KUUB) dengan sokongan padu Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) menyatukan suara pelbagai pihak ke arah masa depan Borneo yang lebih adil, telus dan bertanggungjawab, tambahnya.
"Penganjuran tersebut juga mendapat sokongan daripada Business Events Sarawak (BESarawak) dan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).
"Turut diadakan pameran inovasi oleh pihak universiti dan institut pengajian tinggi (IPT) tempatan dan penyerahan perjanjian persefahaman (MoU) antara KUUB dan UNIONS untuk mengeratkan kerjasama dalam menguatkuasakan nilai integriti," katanya.
Date of Input: 07/07/2025 | Updated: 07/07/2025 | lanz
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia