INISIATIF SULAM: PELAJAR DIPLOMA PERIKANAN UPMS DIDIK KOMUNITI TENTANG ANCAMAN SPESIES IKAN INVASIF | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » INISIATIF SULAM: PELAJAR DIPLOMA PERIKANAN UPMS DIDIK KOMUNITI TENTANG ANCAMAN SPESIES IKAN INVASIF

INISIATIF SULAM: PELAJAR DIPLOMA PERIKANAN UPMS DIDIK KOMUNITI TENTANG ANCAMAN SPESIES IKAN INVASIF

Pada 11 Oktober 2025 (Sabtu), seramai 38 orang pelajar Diploma Perikanan telah terlibat dalam Program SULAM bertemakan “Kenali Ikan Tempatan: Jaga Ikan Tempatan dan Elak Ikan Pendatang” yang telah diadakan di Rumah Panjang Henry Diman. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran komuniti setempat terhadap ancaman spesies ikan invasif serta kepentingan memelihara ikan tempatan agar populasinya kekal lestari pada masa hadapan.
 
Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM) berfungsi sebagai platform bagi Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat, khususnya dalam bidang perikanan dan kelestarian sumber akuatik. Melalui pendekatan pendidikan berasaskan pengalaman, para pelajar bukan sahaja dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di bilik kuliah, malah berperanan aktif dalam menyumbang kepada komuniti setempat.
 
Antara aktiviti utama program ini termasuk sesi ceramah yang disampaikan oleh Dr. Wan Zabidii Wan Morni, diikuti dengan sesi interaksi dan kuiz yang melibatkan pelajar serta penduduk rumah panjang. Aktiviti kemuncak program ialah pelepasan sebanyak 500 ekor ikan Jelawat (Leptobarbus hoevenii) di hulu Sungai Sebemban. Inisiatif ini diharap dapat membantu meningkatkan populasi ikan tempatan serta menyokong usaha pemuliharaan sumber perikanan air tawar di kawasan tersebut.
 
Secara keseluruhannya, pelaksanaan program ini bukan sahaja berjaya menyemai kesedaran terhadap kepentingan menjaga ekosistem sungai, tetapi juga memberikan pengalaman bermakna kepada para pelajar dalam menjayakan program berasaskan khidmat komuniti. Usaha ini turut mencerminkan komitmen UPM dalam merealisasikan moto nya, “Berilmu Berbakti.”
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 16/10/2025 | Updated: 16/10/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W, (05:31:51pm-05:36:51pm, 16 Oct 2025)   [*LIVETIMESTAMP*]