KURSUS PENGURUSAN PENTERNAKAN AYAM DI UPMKB PERKASA KOMUNITI TEMPATAN DALAM BIDANG PERTANIAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » KURSUS PENGURUSAN PENTERNAKAN AYAM DI UPMKB PERKASA KOMUNITI TEMPATAN DALAM BIDANG PERTANIAN

KURSUS PENGURUSAN PENTERNAKAN AYAM DI UPMKB PERKASA KOMUNITI TEMPATAN DALAM BIDANG PERTANIAN

Bintulu - 14 Jun 2025, Pusat Pertanian Putra, UPM Kampus Bintulu, Sarawak telah menganjurkan Kursus Pengurusan Penternakan Ayam sebagai satu inisiatif untuk memperkasa ilmu pengetahuan komuniti setempat dalam bidang penternakan.

Seramai 21 orang peserta daripada pelbagai daerah di Sarawak termasuk Bintulu, Kuching, Kapit, Sibu, Kota Samarahan, Dalat, Mukah, Roban, Debak, Betong dan Niah, Miri telah menghadiri kursus ini. Walaupun datang dari latar belakang yang berbeza, mereka berkongsi aspirasi yang sama iaitu untuk mendalami ilmu berkaitan penternakan ayam.
 
Menariknya, pasangan suami isteri warganegara Filipina yang bekerja di Brunei turut menyertai kursus ini, menunjukkan komitmen mereka dalam menimba ilmu dalam bidang ini.
 
Kursus ini dikendalikan oleh Ts. Dr. Carlina Freddie Simol @ Rachellynna selaku penyelaras dan penceramah utama. Objektif penganjuran adalah untuk memberi pendedahan komprehensif kepada peserta mengenai asas penternakan ayam termasuk keperluan umum, penyediaan reban, pengurusan harian, serta aspek penuaian hasil ternakan. Kursus ini turut merangkumi topik penting seperti pengurusan kesihatan ayam, penyediaan makanan ternakan secara efisien, serta penyelesaian terhadap cabaran yang lazim dihadapi oleh penternak.
 
Bagi memperkukuh pemahaman, peserta diberi peluang mengikuti sesi amali yang melibatkan demonstrasi pemilihan telur untuk penetasan, teknik pemotongan paruh ayam dan kaedah pemberian vaksin. Sesi ini dibimbing oleh staf berpengalaman dari Pusat Pertanian Putra, iaitu Puan Jega Jantai dan Encik Yusri Drahman.
 
Diharapkan kursus ini dapat memberi manfaat berterusan dan mendorong lebih ramai individu untuk menceburi bidang penternakan ayam secara berpengetahuan dan berdaya saing.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 16/06/2025 | Updated: 16/06/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/7:7:40:33~noCache