Brunei, 5 Jun 2024 - pihak Ahli Jawatankuasa Tertinggi dan Sekretariat tetap Konsortium Universiti Universitas Borneo telah menghadiri Majlis Perasmian Koferensi Antarabangsa Islam Borneo ke-15 (KAIB XV) yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Barakas Brunei Darussalam.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Universiti Islam Sultan Sharif Ali. Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut diiringi Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah, Putera Mahkota dan Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, serta Pro-Canselor UNISSA; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Dalam titah ucapan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menekankan bahawa pulau Borneo telah mengalami perkembangan pesat yang didorong oleh penubuhan pusat-pusat ilmu yang telah membentuk masyarakat beradab dirantau ini. Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada pihak penganjur Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei yang juga turut bekerjasama dengan 10 universiti di kepulauan Borneo, Pusat Sejarah Brunei, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei dan rakan strategik, Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB).
Pihak KUUB telah diwakili oleh Yang Mulia Datin Paduka Prof. Dr. Dayang Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman, Naib Cancelor Universiti Teknologi Brunei merangkap Timbalan Pengerusi 1, Yang Berbahagia Prof. Dr. Ir. H. Abdunnur, M.Si., IPU, Rektor Universitas Mulawarman Indonesia merangkap Timbalan Pengerusi 2, En. Mohd Arsy Ardy bin Hardy (Timbalan Setiausaha Kehormat), Tuan Haji Fakhzan Haji Buang (Ketua Sekretariat Kehormat), En Noor Hakim Ahmad (Ketua Kluster Pendidikan) dan Ts.Dr. Suhaili Mustafa (Ketua Kluster Inovasi).Di akhir majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan ahli keluarga diraja melawat pameran yang mempamerkan poster penyelidikan yang berkaitan dengan matlamat pembangunan mampan (SDGs).
Date of Input: 07/06/2024 |
Updated: 07/06/2024 | lanz
MEDIA SHARING