23 Julai 2024 - Lawatan tapak dan perbincangan telah dilaksanakan di Kelulit Sibuti untuk mengenalpasti keperluan bagi membangunkan Memperkasakan Sosio-Ekonomi Komuniti Menerusi Penternakan Burung Puyuh di bawah geran Komuniti@UniMADANI.
Program ini dijalankan atas usaha sama antara staf Pusat Pertanian Putra (PPP), Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH), UPMKB yang mempunyai kemahiran yang diperlukan dan silang bidang (cross-discipline) bersama dengan komuniti di daerah Sibuti menerusi Projek Penternakan Burung Puyuh bagi membantu menjana pendapatan tambahan penduduk kampung yang majoritinya merupakan warga tua, suri rumah, ibu tunggal dan penduduk yang tidak mempunyai pendapatan stabil kerana hanya bergantung dengan hasil tanaman buah-buahan bermusim.
Sebagai perintis bagi menjayakan projek Komuniti@UniMADANI ini, penglibatan 5 buah kampung di Daerah Sibuti telah dipilih iaitu Kampung Pejuang Kelulit, Kampung Pulau Belunu Kelulit, Kampung Sulap Lada kelulit, Kampung Pulau Untong Kelulit serta Kampung Labau Kelulit. Pemindahan ilmu akan dilaksanakan secara teori dan praktikal kepada 20 orang peserta daripada komuniti dengan pelbagai latar belakang bagi tempoh 5 bulan sehingga Disember 2024.
Pada masa yang sama, tujuan lawatan ini juga adalah untuk menilai komitmen peserta dan menjelaskan kepada komuniti mengenai aktiviti yang akan dilaksanakan nanti bagi bersama-sama mencapai objektif projek.
Turut hadir bersama semasa sesi taklimat diadakan Encik Samli b. Tinggal (Kaunselor) serta ketua-ketua kaum 5 buah kampung yang terpilih untuk menjayakan projek ini: KK Saimon Binti Osman @ Maimon Binti Osman (Kampung Pejuang), KK Saimon bin Suhaili (Kampung Labau), KK Arman Bin Simpol (Kampung Sulap Lada), KK Taip Bin Bakar (Kampung Belunok) dan KK Rapin Bin Idin (Kampung Pulau Untong).
Program seumpana ini merupakan inisiatif salah satu platform menyahut seruan kerajaan (Dasar Agromakanan Negara 2021 – 2030) dalam mengurangkan kebergantungan terhadap barangan import, sebaliknya merancakkan kembali industri makanan dalam negara yang membawa kepada peningkatan tahap keuntungan dan menghasilkan proses pengeluaran pertanian yang lebih cekap, mampan dan berdaya tahan.
Menurut Ts. Dr. Carlina Freddie Simol @ Rachellynna selaku Ketua Projek bersama dengan ahli projek dan fasilitator bersama Dr. Latifah Binti Omar, Pn. Norbaya Che Rus, En. Khalid Bin Nawi, En. Shamsudin Bin Haji Hatim dan En. Safri Bin Abidin di antara pengisian Kursus Teknikal Penternakan Puyuh dan Pemprosesan Kompos ini adalah teori berkaitan penternakan puyuh secara menyeluruh, keperluan prasarana, pengenalan perumahan dan pengurusan ternakan puyuh, pemakanan, pengurusan kesihatan puyuh, mengetahui berkaitan pengurusan anak puyuh selepas penetasan (perindukan, pembesaran dan pemberian makanan).
Disamping itu, peserta projek akan turut didedahkan mengenai pembuatan kompos melalui bahan sarap puyuh yang akan dikendalikan oleh pensyarah kanan di Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, UPMKB yang pakar dan mahir dalam bidang tersebut iaitu Dr. Latifah Omar.
Selari dengan Jenama PUTRA – “Pertanian untuk Rakyat” dan moto UPM “Berilmu Berbakti” serta dan ucapan petikan daripada menyahut seruan Naib Canselor UPM untuk merakyatkan pertanian seperti petikan ucapan beliau: “UPM tidak mampu melakukannya secara bersendiri, dan perlu merakyatkan pertanian supaya pertanian menjadi teras kehidupan rakyat Malaysia dalam konteks masyarakat pasca normal yang kompleks, dan juga memberi peluang baharu yang mencabar dan berpotensi.
Semoga program ini memberi manfaat dan membantu komuniti membangunkan diri dan keluarga melalui khidmat kepakaran UPM dengan slogan “Dari Gedung Ilmu Ke Lapangan”.
Date of Input: 25/07/2024 |
Updated: 25/07/2024 | lanz
MEDIA SHARING