BINTULU, 16 Februari 2025 – Program Misi Sukarelawan Penyayang anjuran Kelab Penyayang UPMKB dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Sungai Sebuan Besar, Jepak Bintulu berjaya menghimpunkan lebih 40 peserta dalam usaha menyantuni komuniti kampung dan menyumbang kepada pembangunan sosial melalui aktiviti gotong-royong serta Pendidikan berasaskan Teknologi kreatif.
Majlis Penutup disempurnakan oleh Pengarah Kampus UPM Kampus Bintulu Sarawak, YBhg. Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini dan turut dihadir.i oleh Ketua Kaum Kampung, Encik Osman @ Waini Osman Bin Johari, Encik Mohamad Syukri Mohamad Adnan, Ketua Pentadbir, Pejabat Pengurusan Pelajar UPMKB, Penghulu Kampung Sungai Sebuan Besar Jepak serta Ketua-ketua Kaum di Kampung yang berdekatan.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa program sebegini penting dalam memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat setempat. "Kerjasama antara pihak universiti dan komuniti kampung akan memastikan kemajuan yang seimbang dalam aspek pendidikan, sosial dan ekonomi.
Program sebegini juga menunjukkan keterlibatan Mahasiswa UPMKB dalam membantu komuniti lebih-lebih lagi selepas ditimpa musibah banjir yang melanda Bintulu baru-baru ini" katanya. Pengarah Kampus UPMKB turut mengucapkan terima kasih kepada semua sukarelawan dan pihak JKKK Kampung Sungai Sebuan Besar Jepak atas kerjasama mereka dalam menjayakan program ini.
Sementara itu Ketua Kaum Kampung, Encik Waini Osman Bin Johari, turut berkongsi pandangan beliau mengenai program ini. “Kami amat berterima kasih kepada pihak UPMKB kerana sudi turun padang untuk membantu komuniti kami. Program seperti ini sangat bermakna kerana ia bukan sahaja membawa manfaat melalui aktiviti gotong-royong dan kebersihan kampung, tetapi juga membuka peluang kepada penduduk setempat untuk mempelajari kemahiran baharu dalam bidang digital” katanya.
Bengkel Kreatif CANVA memberi peluang kepada para peserta untuk menggunakan aplikasi reka bentuk grafik secara mudah untuk tujuan perniagaan dan pemasaran manakala Bengkel Content Creator Tik-Tok memberi pendedahan kepada peserta mengenai cara-cara menghasilkan kandungan kreatif di platform media sosial tersebut. Kedua-dua bengkel ini mendapat sambutan yang menggalakkan terutamanya dari kalangan peniaga kecil kampung yang ingin mempelajari kemahiran digital terkini.
Program ini diakhiri dengan Sesi penyampaian hadiah dan cenderamata kepada peserta. Rata-rata peserta melahirkan rasa teruja dan turut berkongsi kegembiraan bersama para sukarelawan. Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk kampung, malah turut memperlihatkan komitmen Kelab Penyayang UPMKB dalam mendedahkan ahlinya kepada tanggungjawab sosial serta memberikan khidmat kepada Masyarakat.
Date of Input: 18/02/2025 |
Updated: 18/02/2025 | lanz
MEDIA SHARING