Bintulu, 24 April 2025 — Kejayaan yang manis dan penuh makna! Pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Kampung Baru telah menyambut detik yang menggembirakan apabila mereka menuai hasil pertama golden melon (melon emas) yang ditanam sendiri sebagai sebahagian daripada Program AgriSTEM — satu inisiatif inovatif yang menggabungkan pendekatan pembelajaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dengan pertanian moden.
Projek ini melibatkan 40 orang pelajar Kelab STEM yang telah mengusahakan 200 pokok melon emas sejak 26 Februari 2025. Di bawah bimbingan Ts. Dr. Shiamala Devi Ramaiya dari Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), para pelajar tidak hanya diajar teori pertanian dalam bilik darjah, malah diberi peluang mengaplikasikan ilmu tersebut secara langsung di ladang mini sekolah mereka.
“Penuaian ini adalah satu pencapaian besar bagi para pelajar. Ia bukan sekadar mengutip buah, tetapi mencerminkan hasil kerja keras mereka selama ini,” ujar Dr. Shiamala. “Mereka telah belajar mengira komposisi media tanaman, dos baja, mengurus nutrien tanaman, mengawal pH tanah, dan melakukan pendebungaan manual. Ini membuktikan bagaimana sains dan matematik memainkan peranan penting dalam pertanian moden.
Menariknya, projek ini tidak terhenti pada aktiviti penanaman dan penuaian sahaja. Para pelajar turut didedahkan kepada proses penghasilan produk berasaskan hasil tanaman termasuk pembuatan ais krim dan dadih golden melon. Mereka mengalami sendiri keseluruhan proses dari menanam, menuai, memproses, sehinggalah ke aktiviti pemasaran dan jualan. Pendekatan ini secara langsung menanam kefahaman bahawa pertanian adalah satu bentuk perniagaan berpotensi tinggi, sekali gus memupuk minat serta kemahiran keusahawanan dalam diri pelajar.
Aktiviti penuaian melon turut diserikan dengan kehadiran ibu bapa, guru-guru serta komuniti setempat. Suasana penuh keterujaan dapat dilihat apabila ibu bapa sendiri turun padang menyaksikan hasil titik peluh anak-anak mereka. Ramai yang terinspirasi dan berhasrat untuk mencuba menanam melon di halaman rumah mereka, dengan bimbingan anak-anak mereka.
“Saya sangat bangga melihat anak saya menuai sendiri melon yang ditanam. Ini bukan sahaja mendidik mereka tentang pertanian, tetapi juga mengajar nilai tanggungjawab dan usaha gigih,” kata salah seorang bapa yang hadir. “Saya berhasrat untuk menanam sayur-sayuran di rumah bersama anak saya, sambil mengamalkan gaya hidup sihat dan pada masa yang sama memupuk minat terhadap pertanian bandar” ujar seorang ibu sambil menyatakan rasa bangga terhadap pembelajaran anaknya melalui Program AgriSTEM.
Acara turut menyaksikan demonstrasi penyediaan produk makanan berasaskan buah, termasuk ais krim dan dadih melon yang menarik perhatian ramai. Aktiviti ini bukan sahaja membuka idea baharu untuk keusahawanan pelajar, tetapi juga menggalakkan gaya hidup sihat dan makanan buatan sendiri dalam kalangan murid dan keluarga.
Yang Dipertua PIBG menyifatkan AgriSTEM sebagai model pendidikan pertanian terbaik, yang bukan sahaja mengajar sains dan teknologi, tetapi juga menyemai nilai kerjasama, inovasi dan daya usaha. Guru Besar turut menyatakan bahawa program ini memberi pengalaman langsung yang amat bermakna kepada pelajar. “Pelajar bukan sahaja belajar teori, tetapi mereka dapat melihat dan merasai sendiri hasil daripada ilmu yang dipelajari. Ia satu pengalaman pendidikan yang holistik dan berimpak tinggi,” kata beliau.
Bagi para pelajar, pengalaman ini membuka lembaran baharu terhadap bidang pertanian yang sebelum ini mungkin dianggap tradisional. Kini mereka melihat pertanian sebagai satu kerjaya moden yang menggunakan teknologi canggih dan penting untuk masa depan negara. “Melalui AgriSTEM, kami ingin mengubah persepsi terhadap pertanian daripada satu bidang biasa kepada bidang yang berteknologi tinggi, berdaya saing dan relevan dalam membina masa depan yang lestari,” kata Dr. Shiamala.
Tambahan pula Dr. Shiamala turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak sekolah, khususnya Yang Dipertua PIBG, guru besar serta para guru yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Program AgriSTEM ini. Beliau menzahirkan rasa gembira atas sokongan padu yang diberikan dalam merealisasikan inisiatif ini di SK Kampung Baru. Dengan kerjasama berterusan daripada pihak sekolah, para pelajar dijangka akan terlibat dalam penanaman pusingan kedua dalam masa terdekat, sekali gus meneruskan kesinambungan pembelajaran berasaskan pertanian moden.
Dengan kejayaan penuaian ini, pelajar SK Kampung Baru bukan sahaja membawa pulang hasil tanaman berkualiti tinggi, tetapi juga ilmu, pengalaman dan semangat baharu untuk terus maju dalam bidang agro-teknologi. Gabungan pembelajaran teori dan praktikal ini diyakini akan memberi impak jangka panjang dalam melahirkan generasi muda yang celik STEM dan bersedia menyahut cabaran industri makanan dan pertanian global.
Date of Input: 28/04/2025 |
Updated: 28/04/2025 | lanz
MEDIA SHARING