BINTULU: Baru-baru ini, pelajar Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) yang diwakili Kumpulan Putra Adventour telah mengadakan Mini Bengkel Penggunaan Canva kepada Komuniti Lebu’ Kulit, Sungai Asap, Belaga. Bengkel ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kemahiran digital penduduk agar dapat menggunakan aplikasi Canva bagi melakukan promosi secara digital produk eko-pelancongan di kawasan itu. Pemilihan platform Canva bagi menjayakan bengkel ini memandangkan reka bentuk grafik dalam aplikasi tersebut yang mesra pengguna dan mudah diaplikasi oleh pengguna baharu.
Bengkel ini telah dihadiri oleh seramai 16 orang penduduk di sekitar yang terdiri daripada surirumah sehingga pelajar turut bercita-cita untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Antara pengisian bengkel adalah Pengenalan Asas Canva yang disampaikan oleh Muhammad Aiman Aishamuddin bin Zaidi, pelajar UPMKB. Dalam perkongsian tersebut, Muhammad Aiman berkongsi tentang pelbagai aspek platform canva termasuk, alatan dan aplikasi praktikalnya dalam mencipta reka bentuk yang menarik perhatian.
"Canva ialah alat berkuasa yang memperkasakan individu untuk mengeluarkan kreativiti mereka tanpa memerlukan kemahiran teknikal yang meluas. Disebabkan itulah kumpulan kami memilih aplikasi ini untuk dikongsikan bersama Komuniti Lebu’ Kulit. Harapan kami adalah, selepas mahir menggunakan aplikasi ini, komuniti Lebu’ Kulit boleh menggunakan aplikasi ini untuk membuat poster bagi mempromosikan produk kraftangan dan pelancongan dikawasan tersebut secara digital", kata Nelson Ngau, selaku ketua kumpulan yang mengadakan bengkel yang menarik ini.
Selain taklimat mengenai Aplikasi Canva secara teori, penduduk turut menjalani sesi praktikal, di mana mereka berpeluang meningkatkan kreativiti masing-masing melalui penggunaan aplikasi ini pada alat peranti masing-masing.
“Kami sangat gembira kerana dapat mempelajari ilmu yang baru menerusi bengkel ini, banyak perkara boleh diteroka menggunakan aplikasi ini”, ujar salah seorang peserta yang telah hadir dengan jayanya.
Kumpulan Putra Adventour turut merancang untuk mengadakan Mini Showcase pada Julai ini bagi mengetengahkan produk kraftangan dan pelancongan Komuniti Lebu’ Kulit kepada Masyarakat bandar yang berminat untuk merasai pengalaman menginap di rumah Panjang atau menghayati alam semulajadi yang masih kekal dikawasan tersebut.
Date of Input: 14/06/2024 | Updated: 14/06/2024 | lanz
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia