BINTULU, SARAWAK — Sekumpulan 17 orang pelajar tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Kimia Perindustrian dari Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) telah diberi peluang melawat loji Shell Middle Distillate Synthesis (MDS) di Bintulu baru-baru ini.
Lawatan tersebut memberikan peluang yang sangat berharga kepada pelajar untuk melihat sendiri operasi industri dan mendalami pemahaman mereka tentang aplikasi dunia sebenar dalam kimia perindustrian.
Semasa lawatan itu, para pelajar diberi taklimat mengenai operasi loji tersebut, termasuk kaedah canggih dalam menukar gas asli kepada produk cecair bernilai tinggi seperti bahan api sintetik, lilin, dan pelincir. Lawatan tersebut dikendalikan oleh Jurutera Automasi dan Proses, Encik Ivan Collin, yang membawa pelajar meneroka pelbagai bahagian kemudahan itu, serta memberikan pandangan tentang protokol keselamatan, langkah-langkah kelestarian alam sekitar, dan teknologi canggih yang digunakan dalam sintesis gas-ke-cecair (GTL).
Salah seorang pelajar, Sriniya A/P Letchiminan, berkongsi pengalamannya, “Lawatan ke Shell MDS benar-benar memberi inspirasi kepada saya untuk meneceburi dalam industri ini selepas bergraduat. Melihat prinsip yang kami pelajari dalam kelas diaplikasikan pada skala sebesar ini telah memberikan saya pemanhaman yang lebih mendalam terhadap kimia perindustrian dan potensinya untuk inovasi.”
Dr. Sivasangar Seenivasagam, penyelaras subjek CHY3602 Proses Tapisan Petroleum, menekankan kepentingan lawatan seperti ini dalam merapatkan jurang antara akademik dan industri. “Lawatan ini selaras dengan komitmen kami untuk menyediakan peluang pembelajaran secara pengalaman kepada pelajar. Ia bukan sahaja tentang melihat teknologi, tetapi juga memahami cabaran dan inovasi yang mendorong industri ini,” katanya.
Dr. Siva menambah, “Kami berterima kasih kepada Shell MDS atas lawatan yang penuh informasi ini. Pendedahan ini pasti akan mendorong pelajar kami untuk mencapai kecemerlangan dalam kerjaya mereka.”
Apabila pelajar menamatkan lawatan tersebut, mereka menyatakan rasa terima kasih atas pengalaman yang memperkayakan itu dan berikrar untuk mengaplikasikan pengetahuan baru yang diperoleh dalam pelajaran dan kerjaya profesional masa depan mereka. Kolaborasi antara industri dan akademik seperti ini terus memainkan peranan penting dalam mempersiapkan generasi profesional mahir Malaysia yang akan datang.
Lawatan ini bukan sahaja menekankan nilai pembelajaran secara praktikal tetapi juga mengukuhkan komitmen UPMKB untuk menghasilkan graduan yang kompeten dan bersedia untuk industri. Kesediaan Shell MDS untuk menerima lawatan akademik mencerminkan peranannya sebagai peneraju dalam memupuk kerjasama industri-pendidikan bagi pertumbuhan dan inovasi yang mampan.
Delegasi lawatan tersebut turut disertai oleh Dr. Ellie Teo Yi Lih dan Dr. Alvin Lim Teik Zheng dari Jabatan Sains dan Teknologi. Loji Shell MDS di Bintulu, yang terkenal dengan teknologi gas-ke-cecair (GTL) yang inovatif, menjadi latar belakang yang sempurna untuk pelajar memerhati proses kimia maju dan amalan industri lestari.
Date of Input: 21/01/2025 |
Updated: 21/01/2025 | lanz
MEDIA SHARING