PENGANJURAN PUTRABAKTI VOLLEYTRON 2025 PERKUKUH JALINAN KOMUNITI DAN UNIVERSITI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » PENGANJURAN PUTRABAKTI VOLLEYTRON 2025 PERKUKUH JALINAN KOMUNITI DAN UNIVERSITI

PENGANJURAN PUTRABAKTI VOLLEYTRON 2025 PERKUKUH JALINAN KOMUNITI DAN UNIVERSITI

BINTULU, 15 Jun 2025 – Seramai lebih 200 peserta telah menyertai PutraBakti Volleytron 2025, sebuah Program Kejohanan Bola Tampar Tertutup anjuran Pelajar Kursus QKS2120 Bola Tampar Kumpulan 101, Semester Kedua, Sesi Akademik 2024/2025, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS).

Program ini berlangsung selama dua hari pada 14 hingga 15 Jun 2025 (Sabtu dan Ahad) di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sebiew Chinese, Bintulu, dengan penyertaan sebanyak 12 pasukan lelaki dan 10 pasukan wanita dari sekitar kawasan Bintulu. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Guru Besar SJKC Sebiew Chinese, Puan Wong Lian Sin, manakala Zackny Roy anak Royal bertindak selaku Pengarah Program dan Encik Kong Kie Soon sebagai Penasihat Program. Program ini mendapat tajaan daripada syarikat Farley Bintulu dan Naim Holdings Bintulu.
 
Menariknya, kejohanan ini turut menyaksikan penyertaan aktif daripada pelbagai kaum dan latar belakang, mencerminkan keharmonian serta semangat perpaduan masyarakat Malaysia yang saling bekerjasama dan bersaing secara sihat dalam satu gelanggang yang sama. Keunikan ini menjadikan program lebih bermakna dalam menyemai nilai integrasi nasional melalui sukan.
 
Menurut pihak penganjur, tujuan utama penganjuran PutraBakti Volleytron 2025 adalah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar terhadap pengurusan acara dan membina keperibadian melalui aktiviti sukan. Di samping itu, program ini juga bertujuan untuk memperkukuhkan kemahiran insaniah seperti kepimpinan, kerjasama berpasukan dan komunikasi dalam kalangan pelajar. Ia merupakan sebahagian daripada keperluan kursus kokurikulum berkredit yang perlu dipenuhi oleh pelajar UPMS.
 
Antara keputusan pertandingan, pasukan Barbatos VK muncul juara bagi kategori lelaki, diikuti Ebuyo VT di tempat kedua, Bomba di tempat ketiga, dan PSKPP di tempat keempat. Bagi kategori wanita pula, tempat pertama dimenangi oleh Elite VC, tempat kedua oleh GEVT, tempat ketiga KV VT, dan tempat keempat Phantom VT. Bagi Anugerah Pemain Terbaik (Most Valuable Player) pula disandang oleh Encik Firnando Ladin dari pasukan Barbatos VK bagi kategori lelaki dan Cik Ursula Moh Hiong Ching dari pasukan Elite VC bagi kategori wanita. Para pemenang membawa pulang hadiah berupa piala, medal, wang tunai dan hamper sumbangan para penaja.
 
Penganjuran program seperti ini diharap dapat memupuk semangat kesukanan dan memperkasa peranan mahasiswa dalam pembangunan diri serta masyarakat melalui aktiviti berimpak tinggi. Dalam masa yang sama, ia berjaya memupuk semangat perpaduan dalam kalangan peserta yang terdiri daripada berbilang kaum dan budaya.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 07/07/2025 | Updated: 07/07/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/9:0:28:45~noCache