PROGRAM JIWA PUTRA @ UPMS 2026 SEMPENA BULAN SINERGI PUTRA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » PROGRAM JIWA PUTRA @ UPMS 2026 SEMPENA BULAN SINERGI PUTRA

PROGRAM JIWA PUTRA @ UPMS 2026 SEMPENA BULAN SINERGI PUTRA

BINTULU, 27 Jun – Sekretariat Kesukarelawanan dan Pengantarabangsaan, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Sri Rajang, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) telah berjaya menganjurkan Program Jiwa Putra @ UPMS 2026 sempena sambutan Bulan Sinergi Putra dengan penyertaan kira-kira 200 orang mahasiswa.
 
Program yang berlangsung selama sehari ini bertujuan untuk memupuk semangat kesukarelawanan, mengeratkan hubungan silaturahim serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan mahasiswa mengenai tanggungjawab sosial terhadap masyarakat dan alam sekitar.
 
Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang program, antaranya gotong-royong dan keceriaan kampus seperti mengecat batu pembahagi jalan, membersihkan kawasan sekitar Kolej Sri Rajang (KSR), Gate Nyabau dan bangunan pentadbiran, serta membasuh papan tanda di sekitar kampus bagi mewujudkan persekitaran yang bersih, ceria dan kondusif.
 
Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah UPMS, YBhg. Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, yang turut menzahirkan penghargaan atas komitmen dan semangat kesukarelawanan yang ditunjukkan oleh para mahasiswa dalam menjayakan program tersebut. Turut hadir ialah barisan Ahli Pengurusan Universiti Putra Malaysia Sarawak dan barisan Felo Kolej Sri Rajang yang bersama-sama memeriahkan majlis berkenaan.
 
Melalui penganjuran Program Jiwa Putra @ UPMS 2026, para peserta berpeluang menimba pengalaman baharu dan memperkukuh kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan. Aktiviti kesukarelawanan ini terbukti mampu membentuk sahsiah mahasiswa yang lebih cakna terhadap isu kemasyarakatan dan kelestarian alam sekitar.
 
Diharapkan Program Jiwa Putra @ UPMS 2026 dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan mahasiswa yang berjiwa sukarelawan, prihatin terhadap masyarakat dan sentiasa mengamalkan semangat kebersamaan serta tanggungjawab sosial.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 29/06/2026 | Updated: 29/06/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (01:38:00am-01:43:00am, 12 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]