BINTULU, 20 September 2025 – Seramai lebih 250 peserta telah menyertai Program Putra Bakti Satu Suara Satu Budaya yang berlangsung di Rumah Jimun Dideng, Ulu Sebauh, Bintulu. Program anjuran pelajar Kursus QKK2101 Bakti Siswa (Kumpulan 4) Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) turut diadakan bersempena dengan Citra Tari Nusantara 2025 (CTN2025) anjuran UPMS yang menghimpunkan penyertaan universiti dari Malaysia dan Indonesia bagi memperkukuh jaringan seni budaya serantau.
Program ini telah berjaya memberi pendedahan kepada peserta mengenai adat resam serta budaya masyarakat Iban selain memperkukuh hubungan silaturahim antara mahasiswa komuniti tempatan dan masyarakat luar. Sepanjang program berlangsung, para peserta berpeluang menyertai pelbagai aktiviti seperti gotong-royong, bengkel tarian Ngajat, bengkel muzik tradisional Iban, bengkel kraf tangan serta bengkel masakan tradisional Negeri Sarawak seperti Ayam Pansuh, Kuih Penyaram dan lain-lain. Aktiviti-aktiviti ini memberi peluang kepada generasi muda untuk merasai pengalaman sebenar kehidupan rumah panjang.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Sri Dr. Stephen Rundi Anak Utom, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak. Dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato Sri Dr. Stephen Rundi menegaskan bahawa penganjuran program sebegini amat penting dalam memastikan warisan budaya masyarakat Sarawak terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah En. Mohamad Syukri Mohamad Adnan, Ketua Pentadbir Pejabat Pengurusan Pelajar (UPMS) merangkap Pengerusi CTN2025, En. Collin Anak Patan, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, En. Jimun Dideng, Tuai Rumah Jimun Dideng, Puan Hajah Siti Rajanah binti Abdul Aziz, Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (UPMS) merangkap Pengarah Program CTN2025, Penghulu Meikle Anak Ding dan Tuan Haji Fakhzan bin Haji Buang, Fasilitator Khas Kokurikulum Berkredit merangkap Pengerusi CTN2025.
Penganjuran Program Putra Bakti Satu Suara Satu Budaya bukan sahaja berjaya meningkatkan kefahaman tentang adat resam masyarakat Iban malah turut menyemai semangat perpaduan dan toleransi dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat majmuk di Malaysia.
Date of Input: 30/09/2025 |
Updated: 30/09/2025 | lanz
MEDIA SHARING