BINTULU: Kerajaan Sarawak menegaskan komitmen untuk memastikan pelajar luar bandar mendapat peluang pendidikan berkualiti, di samping memperkukuh usaha penyelidikan warisan budaya masyarakat pribumi.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata jurang kemudahan pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) antara sekolah bandar dan luar bandar perlu segera ditangani.
“Anak-anak luar bandar juga berhak untuk menjadi jurutera, doktor dan profesional lain. Jika hanya sekolah bandar yang ada kemudahan STEM, jurang pencapaian ini akan terus melebar,” ujarnya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains, Sains Sosial dan Kemanusiaan 2025 (COSSH 2025) di ParkCity Everly Hotel, di sini pada Selasa.
Beliau menjelaskan, inilah antara sebab Sarawak menubuhkan lima sekolah antarabangsa kendalian sendiri, bagi memastikan akses pendidikan bertaraf global sampai kepada pelajar luar bandar.
Dalam masa sama, Dato Sri Abdul Karim turut memuji inisiatif Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) menganjurkan COSSH 2025 yang menghimpunkan pakar akademik, penyelidik, dan penggiat industri untuk membincangkan pelbagai isu semasa.
Antara fokus utama persidangan ialah kajian mendalam terhadap warisan budaya, termasuk penggunaan herba tradisional masyarakat Kelabit.
Menurut beliau, dokumentasi pengetahuan tradisional ini hanya dapat dilakukan melalui penyelidikan mendalam yang disokong dana khusus, seperti peruntukan Kerusi Tok Nan di UPMKB.
“Penyelidikan ini bukan sekadar menyimpan sejarah, tetapi juga mengangkat identiti dan kekayaan budaya negeri,” katanya.-EDISI UKAS
Date of Input: 13/08/2025 |
Updated: 13/08/2025 | lanz
MEDIA SHARING