Bidang sains pertanian dan perhutanan kekal penting dalam memastikan kelangsungan hidup manusia meskipun dunia semakin menuju ke arah digitalisasi dan kecerdasan buatan. Pensyarah Kanan Jabatan Sains Perhutanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), Dr. Ahmad Mustapha Mohamad Pazi, menegaskan bahawa kedua-dua bidang ini berperanan besar dalam keterjaminan makanan, kestabilan iklim, dan pembangunan bioekonomi negara melalui pemanfaatan sumber biologi bagi menghasilkan makanan, tenaga serta produk bioteknologi mampan.
Di UPMS, pendekatan pengajaran dan penyelidikan dalam bidang ini turut menggabungkan teknologi moden seperti pertanian pintar, penggunaan dron, sensor tanah, sistem maklumat geografi (GIS) dan analisis data berasaskan AI. Pendekatan ini membolehkan pelajar memahami dan mengaplikasikan teknologi terkini dalam pengurusan sumber alam, seterusnya melahirkan graduan yang celik digital, berdaya saing dan mampu berperanan dalam pelbagai sektor termasuk agroteknologi, bioteknologi pertanian, ekopelancongan serta perdagangan karbon.
FSPH juga menekankan kaedah pembelajaran berasaskan pengalaman atau learning by doing melalui kerjasama strategik bersama agensi kerajaan dan industri seperti Jabatan Hutan Sarawak, Sarawak Forestry Corporation dan Sarawak Energy Berhad. Dr. Ahmad Mustapha yakin bahawa dalam tempoh dua dekad akan datang, bidang sains pertanian dan perhutanan akan menjadi antara pemacu utama transformasi ekonomi hijau negara, sejajar dengan aspirasi Malaysia menuju pembangunan rendah karbon.
Date of Input: 05/11/2025 |
Updated: 05/11/2025 | lanz
MEDIA SHARING