UPM Bintulu, 22 Oktober 2024 – Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) dan Universiti Nasional Jakarta (UNAS) telah berjaya menganjurkan program e-mobiliti "Bridging Borders for Climate Action" yang berlangsung dari 21 hingga 22 Oktober 2024. Program ini menyaksikan penyertaan seramai 150 penyertaan dari empat buah negara: Malaysia, Indonesia, Nigeria, dan India. Program e-mobiliti selama dua hari ini telah dilaksanakan secara talian menerusi platform ZOOM.
Program ini telah menampilkan 4 penceramah dari UPMKB dan UNAS iaitu Dr. Keeren Sundara Rajoo (IEB, UPMKB), Dr. Alvin Lim Teik Zheng (IEB, UPMKB), Ir. Inkorena G.S. Sukartono, MAgr (UNAS) dan Cik Nurul Hanifah (UNAS).
Pengerusi program Dr. Keeren Sundara Rajoo, menyatakan bahawa inisiatif ini adalah salah satu usaha mobiliti yang bertujuan untuk meningkatkan kerjasama antara UPM dan UNAS dan sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan kesedaran global. " Program ini mampu membina hubungan dan jaringan antara pelajar dan akademik dari pelbagai negara serta memperluas peluang kerjasama di masa hadapan. Selain daripada itu, pelajar dapat berkongsi pengetahuan dan pengalaman dari latar belakang mereka yang berbeza, yang dapat membantu dalam memperkaya proses pembelajaran," ujar beliau.
Program ini turut dihadiri oleh Pengarah Institut Ekosains Borneo, UPMKB dan Ketua Program Pengajian Agroteknologi dari Fakulti Biologi dan Pertanian UNAS. Dalam ucapan penutupan, Dr. Syeed SaifulAzri Osman Al-Edrus menekankan, "Ini adalah tahun kedua program ini dijalankan. Saya berharap program seperti ini diteruskan untuk mengeratkan jaringan antarabangsa antara UPM dan UNAS. Program mobiliti ini peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan akademik tetapi juga pengalaman praktikal yang dapat membantu mereka menjadi warga global yang lebih bertanggungjawab dan cakna dengan isu global”.
Sementara itu, Prof. Madya Dr. Ir. Etty Hesthiati, Ketua Program Pengajian Agroteknologi Fakulti Biologi dan Pertanian di UNAS, menyatakan harapannya agar program sebegini diadakan lebih kerap. Isu pertanian dan ekosistem adalah bidang yang sangat luas untuk dibincangkan, dan program ini dapat membuka minda serta pengetahuan baru antara kedua-dua negara," katanya. Beliau juga mengalu-alukan kehadiran staf dan pelajar UPMKB untuk bersama-sama menjalankan program seperti ini secara fizikal di UNAS pada masa akan datang, jika keadaan mengizinkan.
Dengan pelaksanaan program ini, UPMKB dan UNAS berkomitmen untuk terus mempromosikan kerjasama akademik dan penyelidikan dalam usaha menangani cabaran perubahan iklim global dalam bidang-bidang yang berkaitan.
Date of Input: 23/10/2024 |
Updated: 23/10/2024 | lanz
MEDIA SHARING