WEBINAR KUPAS TEKNOLOGI EKSTRAKSI HIJAU KE ARAH SOLUSI LESTARI TANPA SISA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » WEBINAR KUPAS TEKNOLOGI EKSTRAKSI HIJAU KE ARAH SOLUSI LESTARI TANPA SISA

WEBINAR KUPAS TEKNOLOGI EKSTRAKSI HIJAU KE ARAH SOLUSI LESTARI TANPA SISA

Bintulu, 29 April 2025 – Institut Ekosains Borneo, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) telah menganjurkan satu webinar bertajuk “Green Extraction: Towards Zero-Waste and Sustainable Solutions” yang berjaya menghimpunkan pakar penyelidik dari dalam dan luar negara dalam bidang teknologi pengekstrakan hijau dan kelestarian sumber semula jadi.

Program yang berlangsung secara atas talian melalui platform Zoom ini telah disertai oleh lebih 80 peserta yang terdiri daripada pensyarah, pelajar pascasiswazah, penyelidik serta wakil industri. Webinar ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan perkongsian ilmu mengenai pendekatan inovatif dalam ekstraksi hijau (green extraction) bagi memaksimumkan penggunaan sumber semula jadi dengan impak alam sekitar yang minimum.
 
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh moderator webinar, Ts. ChM. Dr. Azrul Nurfaiz Mohd Faizal. Dua orang panel jemputan telah dijemput untuk menyampaikan syarahan utama dalam bidang kepakaran masing-masing.
 
Panel pertama, Ts. Dr. Ahmad Hazim Abdul Aziz dari Universiti Malaysia Sabah, telah membentangkan tajuk “Revolution of Extraction Process of Natural Products”, yang mengupas evolusi teknik pengekstrakan daripada kaedah tradisional seperti rebusan dan rendaman, kepada teknologi hijau moden seperti Supercritical CO₂ Extraction, Microwave-Assisted Extraction dan penggunaan pelarut semula jadi (NADES). Beliau turut menekankan pentingnya pemilihan kaedah yang mesra alam dan efisien dalam industri makanan, farmaseutikal dan kosmetik.
 
Sementara itu, panel kedua, Ir. Dr. Nicky Rahmana Putra dari Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN), Indonesia, berkongsi hasil penyelidikan terkini bertajuk “Valorization of Peanut Skin Using Green Process for Health and Wellness”. Penyelidikan beliau memberi fokus kepada penggunaan semula kulit kacang tanah melalui proses pengekstrakan hijau bagi menghasilkan bahan aktif seperti catechin dan antioksidan, berpotensi tinggi dalam aplikasi makanan berfungsi dan suplemen kesihatan.
 
Webinar ini turut menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, termasuk SDG 3 (Kesihatan Baik), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) dan SDG 13 (Tindakan Terhadap Perubahan Iklim).
 
Penganjuran webinar ini membuktikan komitmen UPMKB dalam memperkukuh peranan sebagai pusat penyelidikan serantau yang menerajui inovasi berteraskan kelestarian. Dengan tema “Agriculture. Innovation. Life.”, institut ini terus komited dalam membangunkan penyelesaian lestari bagi masa depan yang lebih hijau.
 
 
 

 

Date of Input: 30/04/2025 | Updated: 30/04/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/6:23:41:27~noCache