BINTULU – Mahasiswa dan Mahasiswi Kursus Bakti Siswa QKK2101 Kumpulan 3 Semester Kedua Sesi 2024/2025 Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu menjayakan Program Putra Bakti: Eco-Iftar 2.0 di Pusat Islam UPMKB pada 7 hingga 9 Mac lepas.
Pengarah program, Abdul Sobur Karim dalam kenyataannya berkata, program yang diadakan dengan kerjasama Lembaga Sumber asli dan Alam sekitar Sarawak, Jawatankuasa Pusat Islam dan Perpustakaan UPMKB itu mendapat sambutan baik daripada warga kampus dan komuniti sekitar Bintulu.
Program yang menggabungkan elemen kerohanian, kelestarian alam sekitar, dan kemahiran insaniah ini mengangkat tema "Kelestarian Hijau dan Kerohanian". Program ini dirancang untuk memperkukuh kerohanian, membina kemahiran insaniah, serta memupuk kesedaran alam sekitar dalam kalangan pelajar dan komuniti sekitar.
“Pada tahun kedua penganjuran Putra Bakti: Eco-Iftar, peserta diajak untuk lebih peka terhadap isu-isu ekologi semasa serta berteraskan kelestarian hijau dan pendidikan alam sekitar melalui pelbagai kaedah,”katanya.
Sementara itu program Infaq Ramadan yang juga merupakan aktiviti tahunan Perpustakaan UPMKB yang berlangsung dari 17 Mac hingga 25 Mac 2025 dilihat memberi peluang kepada warga kampus dan komuniti Bintulu amnya untuk menginfakkan barangan atau pakaian kepada mereka yang memerlukan lebih-lebih lagi kepada mereka yang terkesan selepas bencana banjir di Bintulu awal tahun ini.
Penganjuran program ini diharapkan dapat memperkukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan warga kampus UPMKB serta mencipta suasana yang lebih harmoni antara pencapaian akademik, kelestarian alam, dan pembangunan kerohanian.
Date of Input: 21/03/2025 |
Updated: 21/03/2025 | lanz
MEDIA SHARING