Belaga, 3 Oktober – Program Service-Learning Malaysia University for Society (SULAM) telah berjaya dilaksanakan pada 1 hingga 3 Oktober bertempat di Rumah Panjang Lebu’ Kulit, Sungai Asap, Belaga. Program ini melibatkan seramai 30 orang pelajar Diploma Perniagaantani Semester 4 dan penyertaan aktif komuniti dari sekitar kawasan Sungai Asap dan bertujuan memperkasakan masyarakat setempat melalui penganjuran bengkel pertanian moden secara percuma dan terbuka.
Antara bengkel yang ditawarkan termasuklah Bengkel Cendawan Tiram, Bengkel Baja Organik, dan Bengkel Racun Organik, yang dirangka khusus untuk memperkenalkan kaedah pertanian moden yang lebih efisien dan berpotensi menjana pendapatan kepada komuniti.
Pensyarah Program, Encik Calvyn Leu Anak Siming, memaklumkan bahawa setiap bengkel memberikan pendedahan mendalam berkenaan proses penghasilan, penjagaan, dan pemeraman cendawan tiram yang berkualiti tinggi. Selain penyampaian ilmu teknikal, program ini turut menjadi medium untuk mempererat hubungan antara peserta dan komuniti, di samping mempelajari etnik serta budaya tempatan masyarakat di Sungai Asap.
Ketua Kampung Lebu’ Kulit, Encik Bujang Bit, menyatakan penghargaan beliau terhadap penganjuran bengkel tersebut dan berharap agar kerjasama bersama pihak universiti, khususnya Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), dapat diteruskan dalam jangka masa panjang. Beliau turut menyatakan hasrat untuk menjalin kolaborasi berterusan bagi menjadikan komuniti sebagai pembekal bongkah cendawan tiram pada masa akan datang.
Program SULAM ini bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan kapasiti komuniti luar bandar, malah membuka ruang kepada pelajar dan tenaga akademik untuk menyumbang secara langsung kepada pembangunan lestari masyarakat setempat.
Program ini turut disertai oleh Dr. Neilson Teruki selaku Penasihat Program, serta Dr. Shairil Izwan Bin Taasim, Timbalan Dekan Penyelidikan, Pendanaan dan Siswazah, Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains UPMS.
Date of Input: 07/10/2025 |
Updated: 07/10/2025 | lanz
MEDIA SHARING