PROGRAM YOUTH BIODIVERSITY SCIENCE CAMP 2.0, UPMKB | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » PROGRAM YOUTH BIODIVERSITY SCIENCE CAMP 2.0, UPMKB

PROGRAM YOUTH BIODIVERSITY SCIENCE CAMP 2.0, UPMKB

BINTULU: Pada 7 hingga 9 Jun 2024 yang lalu, telah berlangsung Program Youth Biodiversity Science Camp 2.0 di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak. Program ini merupakan program yang kedua kalinya diadakan di UPMKB anjuran Jabatan Sains Perhutanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, UPMKB dengan kerjasama Jabatan Sains, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Mukah.
 
YBSC 2.0 2024 pada kali ini telah disertai seramai 65 orang peserta yang terpilih daripada Pelajar Tingkatan Satu, Tingkatan Dua, Tingkatan Tiga dan Tingkatan Empat, MRSM Mukah. Pelajar diberi peluang untuk mempelajari ilmu biodiversiti perhutanan dengan lebih mendalam di Taman Perhutanan UPMKB.
 
Seramai 40 orang fasilitator yang terdiri daripada Staf Jabatan Sains Perhutanan, Staf MRSM Mukah, Pelajar Bacelor Sains Perhutanan Dengan Kepujian dan Diploma Perhutanan telah membantu menjayakan program ini. Sukarelawan dari kalangan Pelajar Jabatan Sains Perhutanan juga turut hadir dalam membantu menjayakan aktiviti ini. Pelbagai aktiviti menarik telah dilaksanakan seperti Night Hunter, Pengecaman Flora dan Fauna, Khemah Berkumpulan, Picnic Wild, YBSC 2.0 Explorace, Malam Budaya serta sesi perkongsian daripada En. Abdul Khalid Abdul Talip, Penolong Pengurus PUSAKA Bintulu mengenai Kepentingan Hutan kepada generasi muda.
 
Didalam ucapan aluan Pengetua MRSM Mukah, Tuan Mohamad Ghafarri Hamdan, beliau memaklumkan bahawa program seumpama ini merupakan program yang sangat baik kepada Pelajar MRSM dalam mempelajari ilmu sains biodiversiti perhutanan secara langsung di kawasan hutan UPMKB. Pelajar dapat mengenali, melihat dan merasai nikmat alam semula jadi. Selain itu, aktiviti yang disertai oleh peserta program ini dapat meningkatkan sahsiah, disiplin dan semangat kepada pelajar dalam membantu meningkatkan kecemerlangan akademik.
 
Tuan Mohamad Ghafarri Hamdan yang juga turut serta dalam aktiviti malam menyatakan keseronokan beliau dapat melihat flora dan fauna pada waktu malam dan berharap agar program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang ke pringkat yang lebih tinggi serterusnya dapat menyemai sikap tanggungjwab generasi muda dalam menghargai dan memelihara alam sekitar dengan berasaskan ilmu dan nilai.
 
Majlis Penutup Program YBSC 2.0 2024 telah disempurnakan oleh YBhg Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Prof. Madya Dr. Noorasmah Saupi. Dalam ucapan beliau, beliau menyatakan bahawa program ini memberi kesan yang positif kepada pelajar MRSM Mukah, di mana pelajar didedahkan ilmu biodiversiti dalam perhutanan dan berpeluang merasai kehidupan di kampus hijau ini. Dengan ini pelajar dapat menanam minat untuk menyambung belajar ke peringkat pendidikan yang lebih tinggi di universiti terutamanya di UPM Kampus Bintulu.
 
Penyelaras Program YBSC 2.0 2024, Dr. Ahmad Mustapha bin Mohamad Pazi menjelaskan bahawa program ini merupakan program yang kedua kalinya diadakan dengan kerjasama MRSM Mukah. Objektif program ini adalah untuk memberi pendidikan awal kepada generasi muda tentang kepentingan hutan dan alam sekitar dalam konteks pendidikan serta pemindahan ilmu selari dengan tema Universiti kepada Masyarakat. Selain itu peserta juga dapat didedahkan dengan kehidupan harian di Kampus Hijau iaitu UPM Kampus Bintulu agar peserta dapat menanam impian untuk menyambung belajar ke peringkat menara gading.
 
Program YBSC 2.0 2024 pada kali ini telah berjalan dengan jayanya. Wakil pelajar MRSM Mukah Saudari Ezra Ordeyllya yang merupakan penghuluwati YBSC 2.0 berkata Kem ini menyeronokkan. Banyak perkara yang beliau pelajari dari kem ini antaranya, belajar memasang khemah, hammock, menghidupkan api serta dapat mempelajari ilmu flora dan fauna. Selain itu beliau juga dapat mengeratkan ikatan silaturahim antara pelajar MRSM secara langsung dan seterusnya dapat meningkatkan keyakinan diri. Pihak penganjuran YBSC 2.0 2024 mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program pada kali ini.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 18/06/2024 | Updated: 18/06/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:21:35:13~noCache