UPMS DAN BDA BERKOLABORATIF DALAM PROGRAM KITARNOW | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» NEWS » UPMS DAN BDA BERKOLABORATIF DALAM PROGRAM KITARNOW

UPMS DAN BDA BERKOLABORATIF DALAM PROGRAM KITARNOW

BINTULU: Sebagai tanda keprihatinan terhadap isu kebersihan alam sekitar, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) berkolaboratif dalam program KitarNow di bahagian ini.

Bagi tujuan tersebut, UPMS dan BDA semalam menjalankan lawatan tapak bersama ke beberapa vendor kitar semula di Bintulu sebagai sebahagian daripada usaha memperluas rakan pelaksana bagi aplikasi KitarNow.

Lawatan tersebut melibatkan Dr Keeren Sundara Rajoo (UPMS), Lydia Soloma Jalong (BDA) dan Ritchie Mensing Grasing (BDA).

KitarNow secara amnya merupakan aplikasi mudah alih percuma yang dibangunkan oleh UPMS dengan sokongan BDA.

Platform ini direka bagi menghubungkan organisasi dengan syarikat kitar semula bagi memudahkan amalan kitar semula yang lebih berkesan di samping mengukuhkan ketelusan data untuk memahami tingkah laku pengurusan sisa merentas pelbagai sektor.

Inisiatif ini mencerminkan model kerjasama yang praktikal, iaitu pihak berkuasa tempatan, universiti, rakan industri dan komuniti berganding bahu untuk memacu kelestarian melalui penyelarasan yang lebih tersusun serta aliran kitar semula yang boleh dijejaki.

Sepanjang sesi libat urus, empat vendor kitar semula telah bersetuju untuk menggunakan aplikasi ini sebagai rakan strategik rasmi iaitu Mega Progain Sdn Bhd, Green Town Eco Sdn Bhd, Fonsen Enterprise dan My Metal Sdn Bhd.

Vendor-vendor ini mengumpul pelbagai jenis bahan kitar semula termasuk kertas, tin aluminium, botol plastik, besi buruk dan minyak masak terpakai.

Pada masa ini, platform KitarNow telah digunakan oleh kumpulan sasaran termasuk sekolah, hotel dan organisasi masyarakat sivil, dengan matlamat membangunkan ekosistem kitar semula yang lebih mantap dan dipercayai di Bintulu.

Pelajar pascasiswazah UPMS Beatrice Kayok dan Tiew Siew Jin antara yang turut serta dalam lawatan berkenaan.

Date of Input: 11/02/2026 | Updated: 11/02/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
-
W, (08:14:41pm-08:19:41pm, 18 Feb 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]